Isnin, 28 Oktober 2019 | 8:42pm
Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad (kiri) dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto NSTP
Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad (kiri) dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto NSTP

BN sukar tentukan calon Tanjung Piai?

KUALA LUMPUR: Seperti diduga, tindakan Barisan Nasional (BN) hari ini yang belum mengumumkan calon dan parti akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bulan depan, menimbulkan persoalan.

Tindakan BN yang masih berteka-teki itu mencetuskan andaian sama ada ia strategi politik atau mereka sebenarnya belum mencapai kata putus memilih calon dan parti mana patut bertanding pada PRK itu.

Kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas melancarkan jentera pilihan raya BN di Pontian hari ini yang calon BN akan diumumkan Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam tempoh terdekat seperti mengesahkan kemelut melanda BN dalam soal pemilihan calon.

Bagaimanapun, sumber Pemuda UMNO membayangkan BN dijangka meletak calon mewakili MCA berdasarkan perbincangan dalam mesyuarat EXCO pergerakan itu di ibu negara, minggu lalu.

“Dalam mesyuarat itu, Ketua Pemuda (Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) menasihati kami supaya berlapang dada dan meminta untuk bersedia untuk menerima apa juga keputusan pucuk pimpinan.

“Beliau minta Pemuda bekerja keras untuk memastikan calon dipilih BN nanti menang. Cara dia bercakap, bunyinya memang bukan UMNO yang bertanding, mungkin MCA,” jelas sumber itu kepada BH, hari ini.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada 21 September lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Allahyarham yang juga pakar bius, menang kerusi terbabit dengan majoriti 524 undi, menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (MCA) dan Nordin Othman (PAS).

BN diakui berdepan polemik menentukan calon dan parti mana harus bertanding berikutan MCA dilaporkan berkeras mahu kekal bersaing di parlimen itu atas alasan ia adalah kerusi tradisinya.

UMNO berhasrat bertanding atas keyakinan mampu merampas kembali kerusi itu daripada BERSATU berdasarkan faktor majoriti pengundi di parlimen itu adalah orang Melayu.

Sebelum ini, MCA dan MIC berpendirian UMNO tidak harus bertanding dalam PRK itu sebagai menghormati semangat kerjasama serta muafakat di dalam BN.

Nada sama turut disuarakan Persatuan Veteran UMNO sebelum ini yang berpendirian Parlimen Tanjung Piai wajar ditandingi MCA bagi membuktikan UMNO bersifat inklusif selepas pemeteraian Piagam Muafakat Nasional UMNO dan PAS.

Sumber itu berkata, Pemuda BN mencadangkan kepada Dewan Tertinggi BN supaya calon daripada MCA dipilih untuk bertanding dalam PRK itu.

Berita Harian X