Selasa, 29 Oktober 2019 | 3:15pm

PRK Tanjung Piai: BN umum calon esok

PONTIAN: Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, esok.

Sumber berkata, persiapan majlis pengumuman sedang dijalankan walaupun parti komponen BN masih bergelut dalam mencapai kata sepakat mengenai calon yang akan diturunkan.

Katanya, suhu politik BN berada dalam keadaan panas berikutan UMNO dan MCA masih berbalas hujahan mengenai calon terbaik yang seharusnya diturunkan.

“Pada masa ini, sedang berjalan mesyuarat membabitkan kepemimpinan BN Johor bersama beberapa pemimpin MCA pusat.

“Mesyuarat itu bertujuan mencari titik penamat mengenai calon yang akan diturunkan BN sekali gus menamatkan pertikaian yang berlanjutan yang dibimbangi akan menjejaskan mood jentera dan kepercayaan pengundi.

“MCA tetap mahu calon mereka diturunkan, begitu juga UMNO. Kedua-dua parti komponen menerima tekanan dan desakan dari akar umbi masing-masing di Tanjung Piai yang memberi kata dua, sekali gus menyukarkan kata sepakat diambil.

“Namun keputusan perlu dibuat kerana BN mahu mengumumkan calon PRK Parlimen Tanjung Piai esok, sebagai persediaan awal selain memudahkan gerak kerja jentera, sebelum penamaan calon Sabtu ini,” katanya ketika dihubungi BH.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melancarkan jentera PRK Parlimen Tanjung Piai di sini, dilaporkan menyerahkan kepada Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad untuk mengumumkan calon parti berkenaan walaupun sepatutnya beliau yang mengumumkan calon BN, petang semalam.

Jika UMNO berjaya memujuk MCA, parti Melayu berkenaan dijangka menurunkan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan, sebagai calon BN.

Pakatan Harapan (PH) semalam mengumumkan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, sebagai calom parti berkenaan pada PRK Parlimen Tanjung Piai, 16 November depan.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon, yang dihubungi BH enggan mengulas ura-ura BN menurunkan calon dari parti berkenaan.

“Nanti dulu, saya tidak boleh beri apa-apa kenyataan kerana masih berada dalam mesyuarat. Kita akan maklumkan apabila sudah bersedia,” katanya ringkas.

Menurut sumber, BN hampir pasti menurunkan calon MCA mengikut beberapa isyarat diberikan pucuk pimpinan parti serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang menasihatkan akar umbi terus bersatu hati walau apa jua keputusan mengenai calon.

BN dijangka mempertaruh Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng.

Wee pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai dari 2013 hingga 2018, dan sebelumnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pekan Nanas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Jeck Seng tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, calon PH dari BERSATU bagi kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 524 undi.

Berita Harian X