Khamis, 31 Oktober 2019 | 2:11pm
WEE Ka Siong

Calon kitar semula bukan isu - MCA

KUALA LUMPUR: MCA tidak berdepan kesukaran memberi tentangan kepada Pakatan Harapan biarpun mempertaruhkan calon kitar semula dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata calon ditampilkan parti itu, Datuk Seri Wee Jeck Seng mempunyai sokongan kuat di akar umbi.

“Kita lihat dalam PRK, jika seorang calon kalah tipis dan masih bertenaga pada usia 55 tahun, saya rasa calon ini seorang berwibawa dan masih disokong masyarakat setempat.

“Kita tidak gentar, jika kalah sekali (sama) macam Karpal Singh, Lim Kit Siang pun pernah kalah sekali. Jika ikut definisi dikitar semula, mereka pun sama,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau juga menafikan ada sabotaj daripada jentera Barisan Nasional (BN) terutama UMNO pada majlis pengumuman calon malam tadi.

“Tidak (ada sabotaj). Saya berada di situ semalam dan sebenarnya kita sudah bincang pada 28 Oktober adalah bagi pelancaran jentera, tetapi semua orang jangka kita umum calon.

“Pada asalnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mahu umumkan pada 30 Oktober, jadi apabila mereka diawalkan dua hari, kita tak ikut rentak mereka,” katanya.

Beliau berkata, ini masa terbaik untuk pengundi di Tanjung Piai membuat pemilihan terbaik demi masa depan mereka.

Berita Harian X