Sabtu, 2 November 2019 | 9:44pm
MUHYIDDIN Yassin.

Karmaine calon terbaik - Muhyiddin

PONTIAN: Masyarakat Tanjung Piai akan lebih mudah mendapatkan bantuan agensi serta jabatan kerajaan dalam menyelesaikan masalah jika memilih wakil rakyat Pakatan Harapan (PH), kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pengundi mempunyai hak untuk mengundi sesiapa saja, tetapi calon yang terbaik adalah daripada PH iaitu Karmaine Sardini kerana beliau mewakili kerajaan.

“Kalau ingin pilih pembangkang bolehlah... tetapi kerana dia daripada kerajaan PH, wakil kita... penduduk di sini akan dapat satu cara yang lebih mudah dalam menyampaikan dan mencari jalan menyelesaikan masalah, mencari peruntukan pembangunan yang diperlukan, bantu soal kebajikan, pendidikan serta ekonomi.

“Bukan nak kata kita lebih hebat, tetapi ia adalah hakikat, inilah realiti.. ini (wakil rakyat PH) sebahagian daripada PH, ia akan jadi lebih mudah,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Yang turut hadir, pemimpin tertinggi PH termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pemilihan Karmaine sebagai calon PH adalah tepat bagi meneruskan khidmat penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, yang banyak membantu masyarakat serta membawa pembangunan di kawasan berkenaan.

Katanya, Karmaine yang juga Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai adalah seorang tokoh yang berpengalaman dan mempunyai latar belakang yang baik termasuk dalam bidang politik, perniagaan dan agama, sekali gus mudah diterima pengundi.

Mengenai persediaan PH, Muhyiddin berkata, jentera kempen sudah dikerahkan sejak sebulan lalu dan masing-masing sudah mempunyai strategi untuk mendekati pengundi sepanjang tempoh berkempen.

“Kita juga mempunyai pasukan khas yang bertanggungjawab menghubungi pengundi kawasan ini yang tinggal di luar termasuk di Johor Bahru dan Singapura dengan menggunakan pelbagai kaedah,” katanya.

Berita Harian X