Isnin, 4 November 2019 | 6:26pm
CALON Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini (kiri). - Foto BERNAMA

Kenyataan saya cuba 'dipusing' - Karmaine

PONTIAN: Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini, menafikan dakwaan pembangkang kononnya beliau tidak akan memperjuangkan nasib pekebun kelapa sawit di Tanjung Piai.

Karmaine berkata, kenyataannya dalam ceramah malam tadi cuba diputar belit bagi dijadikan bahan kempen kotor, selain bertujuan menghasut pengundi.

“Saya tidak cakap pun pekebun sawit tidak bersyukur dengan harga sawit ketika ini, saya cakap walau banyak mana pun kita dapat, kita harus bersyukur.

“Saya tidak rasa kenyataan itu mengguris hati pekebun kecil di sini kerana memang kita harus bersyukur dengan rezeki diperoleh,” katanya ketika ditemui selepas hadir ke Majlis Apresiasi Prasekolah Zon Kukup 2019 di sini, hari ini.

Barisan Nasional (BN) dikatakan menggunakan isu kejatuhan harga kelapa sawit sebagai modal utama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, selain mendakwa kerajaan tidak mengambil serius soal harga komoditi itu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, dilaporkan turut memainkan isu sama dan menegaskan boikot India terhadap kelapa sawit Malaysia akan menyebabkan harga komoditi itu semakin jatuh.

Baru-baru ini, India selaku satu daripada pembeli terbesar minyak sawit negara melancarkan boikot ke atas komoditi itu selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyatakan India menceroboh dan menduduki wilayah Kashmir.

Pagi tadi, sebuah akaun Facebook memuat naik video ceramah Karmaine malam tadi berdurasi seminit 18 saat, antara lain mendakwa calon PH itu tidak akan memperjuangkan nasib pekebun sawit.

Karmaine berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan terus menjadi suara masyarakat Melayu termasuk di Tanjung Piai.

“Kenapa UMNO nak pertikaikan BERSATU boleh jadi suara orang Melayu atau tidak, dia pun tidak mampu merebut kerusi Parlimen ini dengan MCA, macam mana nak jaga Melayu,” katanya.

Berita Harian X