Rabu, 6 November 2019 | 10:09am
Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng bertemu dengan masyarakat setempat bagi kempen PRK Parlimen Tanjung Piai di Pasar Pagi Pekan Serkat Laut, semalam. - Foto BERNAMA

Dakwaan rasuah isu lama - Jeck Seng

PONTIAN: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, menegaskan tuduhan beliau terbabit penyalahgunaan kuasa tidak berasas dan sengaja mencemar nama ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Beliau berkata isu berkaitan projek Permit Masuk Kenderaan (VEP) itu sudah dijelaskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017 dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Sehubungan itu, katanya, laporan polis kononnya beliau terbabit dengan rasuah dalam projek VEP jelas bermotifkan politik sempena PRK ketika ini.

“Banyak tuduhan yang disebarkan ketika ini adalah tidak berasas dan sudah dijelaskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017.

“Tuduhan bahawa syarikat yang berjaya mendapatkan projek berkenaan hanya memiliki RM35 dalam akaun bank tidak benar kerana laporan Ketua Audit mengatakan bahawa syarikat terbabit memiliki lebih RM3 juta dan melepasi kelayakan minimum sebagaimana yang disyaratkan.

“Tuduhan yang mengatakan kos operasi meningkat tinggi juga tidak tepat kerana ia sebenarnya disebabkan peningkatan dalam skop yang ketara termasuk lebih daripada dua kali ganda kapasiti dalam beberapa keperluan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Malah, Jeck Seng berkata Laporan Audit juga menyatakan bahawa projek itu berjaya mengumpul lebih daripada RM177 juta hasil untuk kerajaan sejak ia dilaksanakan pada tahun 2016 sehingga Jun 2018.

Katanya, perkara sama berlaku ketika PRK Rantau sebelum ini apabila laporan polis dibuat terhadap calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang kononnya terbabit dengan rasuah berhubung pembelian pangsapuri di luar negara.

Bagaimanapun, katanya, selepas berakhirnya PRK Rantau, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudiannya membersihkan nama beliau dan pihak lawan tidak lagi membangkitkan isu terbabit.

Berita Harian X