Jumaat, 8 November 2019 | 6:47pm
Faridah Aryani (tengah) bersama Shamsubahrin (dua dari kiri) ketika sidang media di Pontian, hari ini. - NSTP/Junita Mat Rasid

Tanjung Piai: Faridah Aryani harap tidak hilang wang deposit

PONTIAN: Kekurangan dana menyebabkan calon Bebas, Faridah Aryani Abdul Ghafar hanya memulakan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada hari ketujuh hari ini.

Bagaimanapun, beliau tetap berharap memperoleh jumlah undi yang baik dan tidak hilang wang deposit.

Beliau yang dianggap calon ‘bidan terjun’ mengambil keputusan untuk bertanding pada PRK Tanjung Piai, bagi memperjuangkan nasib pemandu teksi dan e-hailing seluruh negara selain B40 yang hidup terhimpit.

“Kita tidak ada sebarang manifesto sebab kita bertanding atas tiket Bebas. Kita tidak ada dana dari mana-mana pihak yang menyokong kita.

“Ada beberapa NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang menyokong kempen. Kita akan buat program secara santai,” katanya pada sidang media di Serkat, di sini hari ini.

Faridah Aryani adalah calon mewakili kumpulan pemandu teksi, Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM).

Beliau menggantikan pengasas Big Blue Taxi, Datuk Shamsubahrin Ismail yang dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung sehari sebelum hari penamaan calon.

Faridah Aryani berkata, walaupun baru memulakan kempen semalam, beliau yakin dapat berkunjung ke semua 27 kawasan Peti Daerah Mengundi (PDM) dan berharap mampu meraihkan undi dan tidak kehilangan wang deposit.

Berita Harian X