Sabtu, 9 November 2019 | 10:56am
TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub. - Foto Mohd Azren Jamaludin

'Ahli PAS kecewa akan undi PH' - Salahuddin

PONTIAN: Polemik isu hudud membabitkan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata isu berkenaan akan membuatkan ahli PAS yang kecewa melakukan protes senyap dengan mengundi calon PH.

Beliau yakin ada akar umbi PAS yang tidak setuju dan kecewa apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, meminta mereka mengundi calon MCA yang menolak hudud, berbanding undi calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini yang juga seorang imam.

“Saya yakin PH akan meraih undi dan sokongan pengundi yang kecewa dengan calon BN kerana dibabitkan dengan isu menolak hudud.

“Dulu kepemimpinan PAS mengeluarkan fatwa haram mengundi mereka yang menolak hudud dan syariat Islam namun pada PRK kali ini meminta ahli berbuat sebaliknya.

“Apakah tidak pelik parti memperjuangkan Islam meminta ahli mengundi calon sebegini sedangkan DAP datang berkempen di sini meminta penduduk mengundi calon PH iaitu seorang imam.

“Fatwa PAS berubah setiap masa demi menepati agenda mereka. Berpusing-pusing macam ‘roundabout’, pening kita.

“Saya minta ahli PAS, tidak apa kalau tidak mahu isytihar sokong PH, tidak mengapa tidak mahu keluar parti tetapi sokonglah calon PH, seorang imam yang sudah pasti membela Islam, ” katanya pada ceramah PH di Peti Daerah Mengundi (PDM) Kampung Sawah, Pekan Nenas dekat sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Presiden Parti Pribumi bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Akar umbi PAS di sini dikatakan kesal apabila masih ada pemimpin BN mempertikaikan hudud sedangnya sepatutnya wujud persefahaman bersama antara BN dan PAS, lebih-lebih lagi ia sudah dimeterai menerusi muafakat nasional.

Calon BN daripada MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, dikatakan berdolak-dalik ketika ditanya sama ada beliau menolak hudud.

Beliau dilaporkan memberi alasan MCA adalah parti komponen BN yang kini berada dalam blok pembangkang, sekali gus meminta persoalan mengenai hudud diajukan kepada kerajaan.

Berita Harian X