Sabtu, 9 November 2019 | 6:10pm
Mohd Redzuan (dua dari kiri) bersama Karmaine (dua dari kanan) beramah mesra dengan penduduk ketika Program Kenduri Ukhwah Kampung Tenggayun, Tanjong Piai Bersama Menteri Pembangunan Usahawan di PDM Tenggayun, Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Mohd Redzuan (dua dari kiri) bersama Karmaine (dua dari kanan) beramah mesra dengan penduduk ketika Program Kenduri Ukhwah Kampung Tenggayun, Tanjong Piai Bersama Menteri Pembangunan Usahawan di PDM Tenggayun, Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

PH terus gempur PDM hitam di Tanjung Piai

PONTIAN: Pakatan Harapan (PH) terus menggempur Peti Daerah Mengundi (PDM) hitam di Tanjung Piai bagi menarik sokongan pengundi kepada calonnya, Karmaine Sardini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata usaha jentera parti meningkatkan usaha menembusi PDM hitam yang sebelum ini dikuasai Barisan Nasional (BN) menunjukkan hasil positif.

“Saya juga akan membantu jentera parti menggempur kawasan hitam di Tanjung Piai contohnya seperti di PDM Tenggayun ini yang sebelum ini sukar ditembusi, namun kini sudah terbuka dan mengalu-alukan kehadiran PH.

“Kempen dan kehadiran calon serta jentera di PDM di kawasan hitam yang sebelum ini sukar diterima juga mulai menunjukkan perubahan ketara apabila ia menerima sambutan baik daripada penduduk.

“Perubahan sikap dan sokongan pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai yang semakin baik ini menunjukkan pengundi kini mulai memahami dasar perjuangan dan usaha keras yang dilakukan kerajaan PH apabila penjelasan diberikan dengan bersungguh-sungguh, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ukhwah bersama PDM Tenggayun, dekat sini, hari ini. Yang turut hadir, Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, Pengerusi BERSATU Johor, Mazlan Bujang dan Calon PH, Karmaine.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), PH menang di 11 PDM dengan peratusan tinggi, manakala BN pula menguasai 16 PDM di Parlimen Tanjung Piai.

Sementara itu, Mohd Redzuan, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan, berkata sebarang tindakan terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berhubung kenyataan ‘kontroversi’ ketika berkempen di Tanjung Piai, diserahkan kepada Majlis Presiden PH untuk diputuskan.

Katanya, beliau tidak boleh mengulas mengenai isu berkenaan atas dasar solidariti dalam PH.

“Saya tidak mahu cerita omong-omong yang berlaku atau ‘back door’ punya cerita. Kita kena bercakap atas dasar fakta.

“Saya tidak boleh ulas sebab kita ada solidariti sendiri dalam PH untuk memastikan kita sebagai satu unit kerajaan yang bersatu,” katanya.

Berita Harian X