Ahad, 10 November 2019 | 8:23am
SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng (empat dari kiri) bersama Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo (tiga dari kanan) menjulang tangan calon PH, Karmaine Sardini ketika Program Ceramah Harapan Tanjung Piai sempena PRK Parlimen Tanjung Piai di Pusat Perdagangan Pontian. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

PRK Tanjung Piai: Pertembungan agenda BN dengan PH

PONTIAN: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai memasuki hari kesembilan hari ini dan ketika ini parti serta calon bertanding sepatutnya sudah dapat membaca kedudukan mereka di mata penduduk dan pengundi di Tanjung Piai.

Walaupun PRK kali ini membabitkan pertandingan enam penjuru, saingan sebenar adalah ‘two-horse race’ (persaingan dua pihak) antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dan yang menariknya, menampilkan calon yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

PH dan BN masing-masing mempunyai agenda tersendiri, dengan PH mahu menggunakan ‘pertempuran’ kali ini untuk melihat sejauh mana rakyat masih bersama dengan gabungan itu selepas lebih setahun menjadi kerajaan susulan kemenangan pada PRU14.

BN, yang turut mendapat sokongan PAS pula sudah tentu mahu memanfaatkan pentas ini untuk bereksperimen dengan konsep Muafakat Nasional yang dimeterai antara UMNO dan PAS yang secara tidak langsung membabitkan BN, bagi meraih sokongan segenap lapisan pengundi khususnya masyarakat Melayu yang merangkumi kira-kira 57 peratus pengundi di Parlimen Tanjung Piai.

Hakikatnya kedua-dua parti meletakkan wakil yang dianggap calon ‘kitar semula’ yang mungkin tidak begitu dilihat oleh pengundi, namun masing-masing pasti mempunyai kekuatan tersendiri untuk pucuk pimpinan parti terus menaruh harapan terhadap mereka.

Di pihak BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, adalah Ahli Parlimen kawasan itu selama dua penggal pada 2008 hingga 2018 sebelum tewas kepada Allahyarham Datuk Dr Farid Md Rafik pada PRU14 dengan majoriti tipis 524 undi.

Calon PH, Karmaine Sardini, 66, pula bertanding di kawasan Parlimen bersebelahan iaitu Pontian namun tewas kepada calon BN, Datuk Seri Ahmad Maslan, juga dengan majoriti tipis 833 undi.

Jeck Seng mungkin lebih dikenali kerana pernah dua penggal menjadi Ahli Parlimen kawasan itu selain sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas pada 2004 hingga 2008, tetapi Karmaine, walaupun belum dikenali sepenuhnya penduduk setempat, beliau antara pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tanjung Piai dan menjadi Ketua Bahagian BERSATU Tanjung Piai serta membantu kemenangan PH tahun lalu.

Beliau juga mempunyai sokongan daripada parti pemerintah di peringkat kerajaan Johor dan Persekutuan untuk mampu memainkan lebih peranan dalam membawa pembangunan ke Tanjung Piai.

CALON Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (kanan) diiringi Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (belakang, tengah) beramah mesra bersama penduduk Kampung Parit Selangor ketika Program Santai di rumah Ketua UMNO Cawangan, Nordin Salihin di Kampung Parit Selangor, Pontian. - Foto Togi Marzuki

Bagi Jeck Seng, beliau kembali bertanding walaupun tewas tahun lalu kerana mempunyai hubungan baik dengan penduduk dan pengundi di kawasan Tanjung Piai dan mahu terus berbakti di Tanjung Piai.

Karmaine pula mahu menggunakan tempoh berkempen untuk mendekati sebanyak mungkin pengundi kerana berpendapat ramai yang hanya mengenali namanya saja tetapi belum pernah melihat dan mengenali keperibadian beliau dari dekat.

“Saya bertanding kali ini sebab saya calon anak tempatan. Saya orang kampung (di sekitar kawasan Parlimen Tanjung Piai) sini. Ini adalah kampung saya dan fokus utama saya lebih kepada untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi seluruh penduduk di Tanjung Piai,” katanya.

Bagi penganalisis politik, Dr Md Akbal Abdullah, kekuatan PH kerana mereka adalah kerajaan dan kehadiran pemimpin PH yang memegang jawatan dalam kerajaan memberikan peluang kepada rakyat untuk terus menyuarakan masalah mereka, dan pihak kerajaan pula patut mengambil peluang mendengar secara terus masalah rakyat.

“Sebenarnya dalam faktor ini, PH sudah mempunyai kekuatan asas kerana mereka adalah kerajaan dan boleh menjanjikan pembangunan, tidak seperti pembangkang (BN) kerana mereka bukan kerajaan lagi,” katanya.

Namun, katanya BN datang ke Tanjung Piai kali ini membawa semangat tiga kemenangan PRK sebelum ini iaitu Parlimen Cameron Highlands serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan Rantau.

“Tanjung Piai juga menjadi lokasi pertama untuk menonjolkan penyatuan ummah (membabitkan kerjasama PAS dan UMNO) kerana babitkan calon bukan muslim (daripada MCA), jadi semangatnya lebih berbeza berbanding PRK lain,” katanya.

Md Akbal juga berkata, mana-mana parti juga tidak boleh terlalu selesa dengan undi kaum Cina yang pernah diterima sebelum ini kerana undi mereka adalah di luar jangkaan.

PH dan BN juga tidak seharusnya memandang mudah penyertaan parti Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah (BERJASA) serta dua calon Bebas yang mampu memecahkan undi.

“Sejauh mana bilangan pecah (undi) itu, kita (PH) tidak pasti, tidak tahu tetapi memang ada cabaran walaupun (calon lain) tidak mendatangkan kesan yang nyata berbanding Wee (calon BN),” kata Karmaine.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung. Hari mengundi ditetapkan pada 16 November manakala undi awal pada 12 November.

Selain PH dan BN, PRK kali ini turut membabitkan calon GERAKAN yang diwakili Wendy Subramaniam, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (BERJASA) serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar. – BERNAMA

Berita Harian X