Rabu, 13 November 2019 | 12:07pm
TIMBALAN Ketua AMK, Hilman Idham. - Foto Nurul Shafine Jemenon

21 ahli AMK PKR bantah keputusan batalkan jemput Azmin

KUALA LUMPUR: Seramai 21 daripada 25 Ahli Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, membantah keputusan parti itu membatalkan jemputan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi merasmikan Kongres Nasional sayap itu di Melaka, 6 Disember depan.

Bantahan itu dinyatakan melalui kenyataan bersama mereka diketuai Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham, hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan, pembatalan jemputan itu mencerminkan betapa PKR sedang dilanda krisis kepemimpinan sehingga menyebabkan parti berada dalam keadaan yang berantakan.

“Kami berpendirian bahawa sikap dan tindakan membatalkan jemputan itu adalah satu langkah yang sama sekali bertentangan dengan semangat kongres, konvensyen dan tradisi organisasi.

“Justeru, tindakan pembatalan dan kenyataan Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu memberi mesej dan teladan yang salah kepada anggota khususnya generasi baharu dalam PKR, melainkan, jika beliau mahu perpecahan dan keberantakan dalam parti ini terus berlaku.

“Maka, kami menyeru supaya kepimpinan parti mengambil langkah yang tegas untuk mengembalikan PKR di atas landasannya, menggembleng muafakat dan kesatuan anggota serta mempertahankan konvensyen dan tradisi organisasi,” katanya.

Selain Hilman turut serta dalam kenyataan itu, Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Yunus dan S Jestin Raj serta Ahli Majlis Pimpinan AMK Selangor, Sarawak, Melaka, Terengganu, Sabah, Kelantan, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan.

Semalam, Saifuddin dilaporkan menyerahkan kepada sayap parti untuk mengundang pemimpin disukai bagi merasmikan kongresnya bulan depan dan beliau tidak terbabit dalam pemilihan pemimpin yang akan merasmikan serta memberikan ucapan dalam acara itu.

Sementara itu, Hilman ketika dihubungi menyatakan sebagai Timbalan Ketua AMK yang sah dan dipilih oleh anggota dalam pemilihan parti, beliau mempunyai hak untuk menyatakan pandangan dan memberi kepimpinan yang jelas kepada anggota AMK.

“Apatah lagi, kenyataan bersama 21 daripada 25 kepimpinan yang menang dan dipilih dalam pemilihan,” katanya mempertahankan kenyataan beliau itu.

Hilman menjelaskan secara konvensyen dan tradisi, setiap tahun Kongres Nasional AMK dan Wanita dirasmikan Timbalan Presiden parti.

Ditanya mengenai keputusan mesyuarat AMK sudah memutuskan penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Mohamed Azmin untuk merasmikan kongres itu, katanya keputusan mesyuarat itu tidak absah kerana tidak mengambil kira pandangan 21 daripada 25 pimpinan dipilih oleh anggota dalam pemilihan.

“Itu keputusan ‘syok sendiri’,” katanya.

Mengulas isu sama, Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, 21 Ahli Pimpinan AMK sepatutnya merujuk keputusan mesyuarat yang diadakan pada 20 Oktober lalu yang memutuskan Timbalan Perdana Menteri dan juga penasihat parti, Dr Wan Azizah merasmikan Kongres AMK.

Katanya, beliau tidak faham dengan kenyataan terbaru Timbalan Ketuanya dan 20 lagi Ahli Majlis Pimpinan yang menyatakan dikeluarkan hasil kenyataan Setiausaha Agung parti, sedangkan keputusan itu dibuat di peringkat AMK.

“Saya pun tidak pasti mengapa perkara itu dibangkitkan, sedangkan ia keputusan AMK sendiri,” katanya.

Berita Harian X