Rabu, 13 November 2019 | 12:15pm
Karmaine ditemui media pada Program Ziarah Kasih di Taman Utama, Pekan Nenas Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Karmaine ditemui media pada Program Ziarah Kasih di Taman Utama, Pekan Nenas Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Tidak sukar mohon permit sebelum kempen ke rumah - Karmaine

PONTIAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini, bersedia mematuhi arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mendapatkan permit untuk berkempen dari rumah ke rumah.

Beliau berkata, walaupun arahan itu baru dikeluarkan, pihaknya tiada masalah membuat permohonan setiap hari kerana menyifatkan proses itu tidak sukar.

“Setiap pagi kita mohon permit, tidak susah pun sebenarnya, tetapi perlu ada perancangan harian mengenai lokasi akan dituju. Permit dikeluarkan serta-merta oleh pegawai polis apabila kita membuat permohonan setiap pagi.

“Permohonan permit hanya untuk pemantauan polis saja demi kebaikan semua pihak. Pada saya, aktiviti kempen tetap berjalan seperti biasa dan arahan itu tidak menjejaskan sebarang perancangan,” katanya ketika ditemui selepas tinjauan mesra di Taman Utama, Pekan Nanas di sini, hari ini.

Karmaine (dua dari kanan) melawat Rahman pada Program Ziarah Kasih di Taman Utama, Pekan Nenas Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Karmaine (dua dari kanan) melawat Rahman pada Program Ziarah Kasih di Taman Utama, Pekan Nenas Pontian. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Terdahulu, beliau melawat bekas tentera, Rahman Hassan, 63, yang uzur kerana penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi di rumahnya di taman itu.

Karmaine berkata, arahan baharu SPR itu disifatkan adil kepada semua pihak dan tidak memberi sebarang kelebihan kepada beliau.

“Ini bukan soal beri kelebihan kepada sesetengah calon seperti didakwa pihak tertentu. Semua calon perlu memohon permit, tiada sesiapa dikecualikan,” katanya.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun, dilaporkan mengingatkan semua parti dan calon bertanding supaya mendapatkan permit daripada polis jika berkempen dari rumah ke rumah kerana ia suatu bentuk berkempen.

Selain itu, beliau berkata, program tinjauan mesra yang turut dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.

Berita Harian X