Rabu, 13 November 2019 | 3:13pm
WAN Ahmad Wan Omar
WAN Ahmad Wan Omar

Syarat perlu permit berkempen rumah ke rumah keterlaluan - Wan Ahmad

KUALA LUMPUR: Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan syarat kepada calon atau parti yang berkempen dari rumah ke rumah perlu mempunyai permit ketika pilihan raya disifatkan sebagai keterlaluan.

Dalam hal ini, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berpendapat keputusan terbaru SPR itu dilihat sebagai bercanggah dengan prinsip kebebasan untuk calon bertemu pengundi bagi tujuan berkempen.

Susulan itu, beliau mempersoalkan tindakan SPR ini kerana dilihat menyusahkan calon, ejen kempen dan parti untuk bertemu dengan pengundi secara bersemuka.

Jelas beliau, dalam tempoh rasmi berkempen, SPR sepatutnya perlu memudahkan parti yang bertanding dan calon untuk berkempen serta bertemu pengundi.

“Meletakkan syarat mendapat permit polis untuk mereka berkempen bertemu pengundi di rumah adalah keterlaluan dan tidak sesuai dalam pelaksanaan proses demokrasi yang bebas serta adil.

“Ia (kempen rumah ke rumah) sudah lama menjadi budaya dalam proses politik negara sejak merdeka.

“Apatah lagi ia membabitkan pelbagai parti, calon dan kepentingan rakyat selaku pengundi yang akan menentukan wakil untuk dipilih mewakili mereka di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Mengapa sekarang perlu disusahkan (kempen) selagi mereka tidak melanggar kesalahan di bawah undang-undang atau peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun menegaskan parti dan calon yang hendak berkempen dari rumah ke rumah perlu mendapat permit polis.

Peraturan ini kali pertama dikeluarkan SPR ketika tempoh kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berbaki dua hari lagi.

SPR sebelum ini tidak pernah meletakkan syarat atau mengeluarkan arahan kepada mana-mana parti dan calon yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya perlu mendapatkan permit jika mahu berkempen dari rumah ke rumah.

Wan Ahmad menambah, umum mengetahui berkempen adalah salah satu elemen penting dan perlu dilakukan dalam proses demokrasi melalui kaedah pilihan raya bebas dan adil.

Justeru katanya, parti atau calon yang bertanding perlu diberi kebenaran dan ruang yang mencukupi untuk bertemu pengundi selagi tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Polis, Akta Hasutan serta peraturan berkempen ditetapkan SPR.

“Salah satu peraturan utama dalam tempoh rasmi berkempen ialah parti dan calon disyaratkan mendapat permit dari polis untuk mengadakan aktiviti ceramah.

“Tujuannya ialah supaya pihak polis tahu tempat dan parti serta calon yang terbabit. Polis bertanggungjawab atas ketenteraman awam, lalu lintas dan aspek lain yang membabitkan keselamatan awam.

“Jika mereka melakukan kesalahan, berhentikan kempen mereka atau dakwa mereka mengikut kesalahan di bawah undang-undang berkaitan. Tugas polis menjaga keselamatan dan boleh menahan sesiapa saja yang melanggar undang-undang,” tegasnya.

Berita Harian X