Rabu, 13 November 2019 | 3:32pm
CALON Pakatan Harapan (PH) PRK Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini (kanan) menziarahi penduduk di Kawasan Kampung Melayu Raya, Abd Aziz Masrom (kiri) yang menghidap penyakit strok hampir tiga tahun ketika beliau melakukan lawatan di sekitar Kampung Melayu Raya, hari ini. - Foto BERNAMA

Syor SPR perjelas peraturan elak kekeliruan

KUALA LUMPUR: Syarat memohon permit polis untuk berkempen dari rumah ke rumah wajar diperjelaskan lebih awal kepada parti politik bagi mengelak kekeliruan sehingga mencetuskan perdebatan, sekali gus menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sasaran kritikan.

Ini kerana syarat itu bukan perkara baharu, malah termaktub di bawah Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Bagaimanapun, ia tidak dilaksanakan dalam pilihan raya sebelum ini.

Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UAIM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, berkata jika syarat itu yang terbaik demi keselamatan bersama, maka peruntukan itu wajar dikuatkuasakan.

Katanya, isu timbul apabila parti politik beranggapan ia adalah peraturan baharu yang menyukarkan kempen sedangkan peruntukan itu ada dalam Akta Pilihan Raya 1954.

“Lebih elok terangkan kepada semua pihak kenapa peraturan itu diperkenalkan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata walaupun termaktub dalam akta, peraturan itu baru dilaksanakan di PRK Tanjung Piai sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak.

“Sebelum ini, tak ada peraturan seperti itu. Apa yang ada selama ini ialah permit untuk mengadakan ceramah di tempat awam seperti dewan orang ramai dan padang tetapi permit untuk kempen dari rumah ke rumah tidak pernah saya dengar.

“Disebabkan itu, ramai pihak tidak berpuas hati... ini menyusahkan pihak yang berkempen. SPR tidak memaklumkan peraturan ini lebih awal,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Kuala Lumpur, Prof Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak turut menyifatkan tindakan SPR itu mengelirukan dan tidak masuk akal.

Ini kerana, katanya, amalan kempen dari rumah ke rumah sudah lama berjalan dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah asalkan calon yang bertanding mematuhi peraturan berkempen.

“Jika calon perlu permit untuk berkempen dari rumah ke rumah, ia sangat tidak munasabah kerana calon perlu bergerak tanpa mengira tempat dan situasi menemui seramai mungkin pengundi.

“Apakah peraturan ini tidak akan menyulitkan calon berkempen? Saya lihat peraturan ini tidak masuk akal dan hanya menyekat proses demokrasi yang sudah pun berjalan dengan baik di negara ini. Saya tidak nampak apa-apa kebaikan daripada penguatkuasaan peraturan ini,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik dari UUM, Prof Madya Dr Rusdi Omar, berkata tindakan SPR itu seolah-olah mengecilkan amalan demokrasi di negara ini.

Sambil mempersoalkan kewajaran peraturan itu baru dilaksanakan, beliau berkata, amalan kempen dari rumah ke rumah sudah sebati dalam sistem pilihan raya negara ini.

“Ia tidak bagus untuk kerajaan PH kalau buat seperti itu. SPR sepatutnya tidak bekerja untuk parti tertentu tetapi bekerja untuk kerajaan.

“SPR perlu menjadi badan bebas secara total dan tidak bertindak untuk kepentingan semua pihak. Jangan disebabkan tindakan SPR itu boleh menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan PH,” katanya.

Semalam, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan media sebelum ini memaklumkan permit untuk berkempen dari rumah ke rumah kini menjadi satu keperluan sepanjang PRK Tanjung Piai.

Selain itu, jentera parti perlu memaklumkan kepada polis mengenai program tinjauan mesra yang dianjurkan kerana ia turut dianggap sebagai kempen bergerak.

Berita Harian X