Rabu, 13 November 2019 | 6:47pm
TAN Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media sempena PRK Parlimen Tanjung Piai, di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan, di Eco Rambah, Pontian. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
TAN Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media sempena PRK Parlimen Tanjung Piai, di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan, di Eco Rambah, Pontian. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Beri ruang kepada parti - Muhyiddin

PONTIAN: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, meminta polis lebih bertimbang rasa dengan tidak mewajibkan permohonan permit bagi kempen dari rumah ke rumah serta tinjauan mesra sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Menteri Dalam Negeri itu mengakui beliau menerima aduan mengenai peraturan berkenaan yang agak ketat.

“Saya sudah uruskan berpuluh pilihan raya sebelum ini, tak pernah ada syarat seperti ini. Biasanya, apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umum calon, masing-masing (calon dan jentera parti) buat kerja untuk tarik sokongan pengundi.

“Jadi saya harap polis... walaupun di bawah bidang tugas saya (Kementerian Dalam Negeri)... tapi yang berkuasa di peringkat daerah ini, lebih bertimbang rasa... parti perlu diberi ruang,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata program besar perlu mendapatkan permit polis seperti biasa.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau tidak melihat trend keselamatan membimbangkan, justeru permintaannya berkaitan pengecualian permit perlu dipertimbangkan sewajarnya.

Semalam, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun menegaskan parti dan calon yang hendak berkempen dari rumah ke rumah perlu mendapat permit polis.

Peraturan itu kali pertama dikeluarkan SPR ketika tempoh kempen PRK Parlimen Tanjung Piai.

SPR sebelum ini tidak pernah meletakkan syarat atau mengeluarkan arahan kepada mana-mana parti dan calon yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya perlu mendapatkan permit jika mahu berkempen dari rumah ke rumah.

Berita Harian X