Sabtu, 16 November 2019 | 4:23pm
Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha. - NSTP/Faiz Anuar

Tindakan AMK memalukan - Wanita PKR

KUALA LUMPUR: Wanita PKR membidas tindakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) membatalkan jemputan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, untuk merasmikan Kongres Nasional Tahunan AMK awal bulan depan, yang disifatkan sebagai memalukan.

Sambil menegaskan AMK melanggar tradisi diamalkan parti sejak 20 tahun lalu, Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha, berkata tidak sepatutnya timbul isu Timbalan Presiden tidak menjawab surat jemputan AMK kerana ia tidak berlaku kepada pergerakan itu.

“AMK melanggar tradisi, saya nampak ini satu perkara yang boleh dikatakan sangat memalukan, sehingga pemimpin veteran tegur Ketua AMK, ambillah Timbalan Presiden sebagai untuk merasmikan sebab itu memang tradisi parti dan membuat secara serentak dengan Wanita, ini sayap yang akan kukuhkan parti, ada sayap kanan dan kiri.

“Jika alasan pembatalan jemputan disebabkan Timbalan Presiden tidak memberi maklum balas, kenapa Wanita dia (Mohamed Azmin) jawab.. kalau perasmian kongres serentak, pada Wanita, dia balas, takkan pada AMK dia tak balas,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran logo Wanita PKR, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, EXCO Kerajaan Selangor itu berkata Wanita PKR tetap dengan pendirian Timbalan Presiden wajar merasmikan Kongres Nasional sayap dan tradisi itu perlu dikekalkan demi pengukuhan parti.

“Itu sejarah dari awal penubuhan parti sehingga sekarang, itulah masanya kita nak dengar orang nombor dua parti berucap kepada sayap.

“Sayap sangat penting, mempunyai ahli dan peraturan sendiri... membuat keputusan sendiri untuk bergerak, tambahan lagi kalau sayap Wanita, memang tunggak dalam perkara berkaitan pilihan raya, menjadi petugas, raih undi dan sebagainya,” katanya.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lembah Jaya itu turut berpendapat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Pengerusi Majlis Penasihat parti tidak sepatutnya menyempurnakan majlis perasmian kongres sayap.

“Amalan itu bukan dalam konvensyen, bukan amalan parti.. cuba tanya parti lain, ada tak penasihat merasmikan kongres sayap?

“Sebenarnya kena ikut hiraki, struktur organisasi parti... kalaupun dia (AMK) rasa Timbalan Presiden tak beri jawapan, saya rasa itu bukan isu, kita masih ada Naib Presiden,” katanya.

Mengulas laporan yang majlis perasmian kongres sayap akan dilakukan secara berasingan, Haniza berkata, ia diputuskan AMK tanpa mengambil kira amalan sebelum ini.

Laporan sebelum ini menyebut kegagalan Mohamed Azmin menjawab surat jemputan merasmikan Kongres Nasional Tahunan AMK menyebabkan sayap parti itu memutuskan beliau digantikan dengan Dr Wan Azizah sebagai perasmi.

Ketua AMK PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilaporkan berkata, pihaknya mengeluarkan surat jemputan pada 11 September lalu dan selepas enam minggu, Mohamed Azmin masih tidak memberikan jawapan kepada jemputan itu.

Berita Harian X