Ahad, 17 November 2019 | 7:48pm
Ketua Wanita PKR negeri, Sharifah Norhayati Syed Omar (kiri) dan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail. - Foto NSTP

Ketua Wanita PKR Terengganu cuba raih publisiti murahan - Azan

KUALA TERENGGANU: Tindakan Ketua Wanita PKR negeri, Sharifah Norhayati Syed Omar membuat laporan polis mendakwa dirinya dikasari ketika Konvensyen Keadilan Terengganu dan Kelantan 2019 di sini, kelmarin hanyalah cubaan mencari populariti.

Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail menafikan berlaku pergelutan kecil sehingga pihak keselamatan terpaksa menarik lengan kanan Sharifah Norhayati ketika majlis perasmian konvensyen itu, petang Jumaat.

Sambil mengakui tindakan duduk mengejut di kerusi bersebelahan presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim melanggar protokol dan tidak beradab, beliau menjelaskan sudah menasihatkan wanita itu untuk mengosongkan kerusi selepas tindakannya mendapat teguran daripada pengawal peribadi Anwar.

“Tak ada pun adegan sekumpulan lelaki menarik lengan Sharifah Norhayati seperti didakwanya. Sebaliknya beberapa lelaki yang juga pengawal keselamatan itu menasihatkan dia mengosongkan kerusi ketika pengerusi MPN Kelantan, Mohamad Suparadi Md Noor sedang berucap,” katanya ketika dihubungi.

Sharifah Norhayati yang juga Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) negeri membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu semalam, mendakwa dikasari beberapa lelaki yang diarahkan untuk berbuat demikian oleh Azan ketika Konvensyen Keadilan Terengganu dan Kelantan di sini, petang kelmarin.

Mengulas dakwaan Sharifah Norhayati beliau tidak dijemput dan tidak disediakan tempat untuk duduk bersama Anwar, Azan menjelaskan tiada tempat duduk khas disediakan untuk pimpinan parti di peringkat sayap termasuk ketua Angkatan Muda Keadilan Terengganu.

“Hanya lima kerusi tempat duduk khas disediakan di barisan hadapan iaitu untuk Datuk Seri Paduka Raja, Tengku Ibrahim Sultan Nasiruddin Shah dan isteri, Anwar dan untuk dua pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan dan Terengganu.

“Kedudukan di barisan itu diatur dan disusun oleh Setiausaha PKR negeri, Wan Bukhari Wan Muhammad dan dipersetujui jawatankuasa parti pada mesyuarat persiapan konvensyen yang tidak dihadiri Sharifah Norhayati.

“Saya sendiri terkejut apabila ditegur oleh pegawai peribadi Anwar kerana membiarkan Sharifah Norhayati secara tiba-tiba duduk di sebelah Anwar,” katanya.

Azan berkata, jawatankuasa sambutan konvensyen dipengerusikan Wan Bukhari dijangka membuat laporan polis esok susulan kejadian itu.

Berita Harian X