Selasa, 19 November 2019 | 12:26am
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kelihatan bersama Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin di kediaman Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu di Presint 10, Putrajaya. - Foto Petah Wazzan Iskandar
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kelihatan bersama Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin di kediaman Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu di Presint 10, Putrajaya. - Foto Petah Wazzan Iskandar

Azmin adakan pertemuan dengan Ahli Parlimen BN

PUTRAJAYA: Sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hadir di kediaman Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Presint 10 di sini, malam ini.

Tinjauan BH mendapati, beberapa kenderaan dipercayai milik wakil rakyat diletakkan di perkarangan rumah Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, termasuk kenderaan yang mempunyai jata Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri.

Wakil rakyat terbabit dipercayai berada di situ sejak jam 7 malam, sebelum beransur-ansur meninggalkan kediaman Mohamed Azmin mulai jam 11 malam dengan diakhiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin.

Antara yang dilihat keluar ialah Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid; Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Ismail Abd Muttalib (Maran).

Ahli Parlimen Cameron Highlands dari BN Ramli Mohd Nor dan ketika dihampiri petugas media sekadar berkata: “Tiada apa-apa.”

Ahli Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib, pula mendakwa tidak ada mesyuarat berlangsung di rumah Mohamed Azmin.

“Saya datang sebab rumah saya dekat. Itu antara Ahli Parlimen dengan Menterilah,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini, Raja Petra Kamaruddin menerusi laporan di portal Malaysia Today melaporkan Mohamed Azmin mengadakan pertemuan itu bagi mendapatkan sokongan daripada sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen BN.


Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor (kiri) dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto NSTP

Berita Harian X