Selasa, 19 November 2019 | 12:47pm

Hishammuddin nafi ketuai pertemuan Ahli Parlimen BN dengan Azmin

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan beliau mengetuai sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Presint 10 di Putrajaya, malam tadi.

Menerusi laman twitternya hari ini, bekas Naib Presiden UMNO berkata, beliau sedia disiasat Lembaga Disiplin UMNO berhubung dakwaan berkenaan.

“Dakwaan saya mengetuai pertemuan antara Mohamed Azmin dan Ahli Parlimen pembangkang malam tadi tidak benar sama sekali. Bukan saya yang rancang pertemuan itu.

“Namun, jika Lembaga Disiplin UMNO nak siasat, saya sedia disiasat. Tiada apa saya hendak sembunyikan,” katanya.

Beliau mengulas laporan sebuah sesawang berita yang memetik kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang mendakwa Ahli Parlimen Sembrong itu mengetuai pertemuan sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang di kediaman rasmi Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Lokman mendakwa, Hishammuddin sekali lagi mengkhianati rakyat Malaysia, khususnya pengundi di Parlimen Tanjung Piai yang baharu saja memenangkan calon BN, Sabtu lalu.

Berita Harian X