Selasa, 19 November 2019 | 1:09pm
NAIB Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof merasmikan Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di Sepang, hari ini. - Foto BERNAMA

AMANAH tidak tahu pertemuan dengan Mohamed Azmin

SEPANG: Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak mengetahui berlakunya pertemuan sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, malam tadi.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata pertemuan terbabit di luar pengetahuannya.

“Pertemuan dengan Azmin Ali? Saya tidak tahu. Di luar bidang kuasa saya. Kena tanya mereka,” jawab beliau ketika diajukan soalan oleh media pada sidang media selepas merasmikan Multaqa Ulama Asia Tenggara 2019 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan 22 Ahli Parlimen UMNO dan lima Ahli Parlimen PKR di kediaman rasmi Mohamed Azmin.

Kesemua mereka dikatakan tiba jam 7 malam, dan meninggalkan kediaman Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, jam 11 malam.

Antara yang hadir ialah Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan yang juga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin; Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Mastura Mohd Yazid, Ahli Parlimen Lipis, Abdul Rahman Mohamad; Ahli Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor.

Ahli Parlimen BN yang dipercayai hadir ialah Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman dan Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah.

Selain itu Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib; Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jamaluddin Alias; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noriani Ahmad.

Berita Harian X