Rabu, 20 November 2019 | 1:17pm
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - Foto BERNAMA

Tun M ibarat kelapa, makin tua makin menjadi - Hadi Awang

KUALA LUMPUR: PAS mengulangi pendirian akan terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membawa kemajuan kepada negara ketika berlaku ketidaktentuan politik negara hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut memberi jaminan kesemua 18 Ahli Parlimen dari parti itu akan bersatu hati untuk memberi undi percaya atau menyokong usul undi percaya jika ia dikemukakan di Parlimen.

Ahli Parlimen Marang itu ketika ditemui di lobi Parlimen turut memuji kemampuan Perdana Menteri melakukan pelbagai transformasi bagi menyelamatkan negara.

Beliau turut mengakui silap menilai kemampuan Perdana Menteri apabila mendakwa Dr Mahathir lebih sesuai berkhidmat di Klinik 1Malaysia berbanding menyertai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Pendirian kita supaya Dr Mahathir Mohamad terus kekal sehingga habis penggal. Itu pendirian asas kita walaupun masa Pilihan Raya (Umum) lalu, saya pernah sebut beliau tolong jaga Klinik 1Malaysia tetapi nampaknya makin tua makin menjadi, ..tua-tua kelapa, makin tua makin kemas untuk selamatkan negara. Orang lain belum tentu dia (Dr Mahathir) sudah tunjukkan bukti positif.

“Kita akan memberi undi percaya kepada Tun (Dr Mahathir),” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika ditanya pendirian parti itu berhubung pertemuan sulit antara Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Sebagai parti yang mempromosikan Budaya Politik Matang dan Sejahtera, Abdul Hadi berkata tindakan itu ibarat perasaan cemburu antara satu sama lain.

“Saya rasa itu macam orang cemburu satu sama lain, itu terpulang parti lain... kepercayaan sama sendiri itu penting... masing-masing dapat menangani (masalah) parti berdasarkan apa yang ada dalam parti masing-masing,” katanya.

Berita Harian X