Rabu, 20 November 2019 | 11:48pm
Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hilman Idham pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPP AMK Malaysia bersama pimpinan AMK Cabang-Cabang seluruh Malaysia, di Rumah Pemuda Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir

Mohamed Azmin tetap rasmi Kongres Nasional AMK, Wanita

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tetap akan merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR di Melaka pada 5 Disember ini.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham, berkata mengumumkan perkara itu selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat AMK yang berlangsung di sini, malam ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berdasarkan tradisi dan konvensyen yang diamalkan parti sebelum ini.

“Seluruh pergerakan dan perwakilan AMK peringkat nasional, cabang dan ranting akan digerakkan untuk mempertahankan tradisi dan konvensyen selama ini.

“Pengerusi Majlis Penasihat PKR yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan merasmikan perasmian penutup yang sebelum ini tidak pernah diadakan.

“Itu adalah keputusan mereka (kepemimpinan) dan mereka yang akan uruskannya,” katanya kepada pemberita di sini.

Dalam mesyuarat malam ini, lebih daripada separuh iaitu 132 Ketua Cabang seluruh negara menghadiri mesyuarat yang berlangsung kira-kira dua jam.

Sebelum ini, isu mengenai perasmi kongres terbabit menjadi kontroversi selepas jemputan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dibatalkan dan diganti dengan Dr Wan Azizah.

Berita Harian X