Khamis, 21 November 2019 | 2:39pm
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Konvensyen PKR Sarawak tetap diteruskan Sabtu ini

KUALA LUMPUR: Konvensyen Parti Keadilan Nasional (PKR) Sarawak tetap akan diteruskan sebagaimana dijadualkan Sabtu ini.

Keputusan untuk mengadakan konvensyen negeri-negeri sudah diputuskan dalam mesyuarat pimpinan pusat dan biro politik. Semua negeri sudah diberikan jadual dan pelaksanaannya adalah perlu mengikut jadual.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution, berkata jika jika sekiranya ada yang berpandangan sebaliknya, saluran yang betul adalah dengan mencadangkan perkara itu kepada majlis pimpinan pusat, biro politik dan kemudian barulah keputusan.

Beliau mengulas tindakan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak yang sebelum ini dilaporkan mengambil keputusan membatalkan konvensyen negeri yang dijadualkan Sabtu ini.

Pembatalan Konvensyen negeri yang sepatutnya berlangsung di Miri diumumkan Pengerusi MPN PKR Sarawak, Baru Bian kerana tidak berpuashati dengan cara parti menyelesaikan isu jemputan perasmian Kongres Nasional parti Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Ditemui selepas merasmikan pembukaan Pusat Beli Belah Aeon Taman Maluri, di sini, hari ini, Saifuddin menegaskan tumpuan parti itu kini adalah terhadap konvensyen dan kongres bagi memastikan semua persiapan berlangsung sebagaimana yang sudah dijadualkan.

Ditanya mengenai pendirian Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham yang bertegas mahukan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR, 5 Disember ini, Saifuddin menegaskan perkara itu sepatutnya perlu mengikut saluran yang betul.

“Keputusan tentang parti kena buat dalam mesyuarat parti, tidak boleh buat dalam perjumpaan di peringkat cabang. Itu bukan cara parti bergerak kerana platform sebenar adalah mesyuarat yang diadakan di peringkat pusat dan biro politik,” katanya.

Muhammad Hilman Idham malam tadi mengumumkan pendirian itu selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat AMK di Shah Alam.

Dalam mesyuarat itu, lebih daripada separuh iaitu 132 Ketua Cabang seluruh negara menghadiri pertemuan yang berlangsung kira-kira dua jam.

Sebelum ini, isu mengenai perasmi kongres terbabit menjadi kontroversi selepas jemputan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dibatalkan dan diganti dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu di Miri, Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng berkata Konvensyen PKR Sarawak akan diteruskan Sabtu ini walaupun Baru sebelum ini mengumumkan ia dibatalkan.

Yu Keng yang juga Ketua Cabang Miri berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri konvensyen itu yang akan diadakan di sebuah hotel di sini dan jemputan menghadiri konvensyen itu kepada ahli dan delegasi sudah diedarkan dan sukar bagi pihaknya untuk membatalkannya.

Dijangka lebih 1,000 ahli parti akan menghadiri konvensyen itu yang turut diadakan untuk meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan PKR selain melancarkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).

“Konvensyen itu adalah untuk semua ahli serta pemimpin PKR Sarawak dan Presiden parti juga akan menghadirinya. Semua konvensyen PKR dikawal oleh Presiden parti dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bersama-sama dengan Biro Politik Pusat,” katanya.

Dr Teo berkata, MPN pula bertanggungjawab untuk melaksanakan konvensyen dan bukannya membuat keputusan membatalkannya.

“Keputusan muktamad terletak di tangan Presiden parti dan arahan membatalkan konvensyen itu yang dibuat oleh MPN adalah jelas menentang keputusan presiden,” katanya.

MPN Sarawak dalam surat bertarikh 18 November lalu mengarahkan agar konvensyen berkenaan dibatalkan.

Setiausaha PKR Sarawak, Vernon Kedit pula ketika dihubungi hari ini berkata, jika konvensyen itu diteruskan juga, ia adalah terbatal.

"Apa-apa konvensyen di dalam negeri Sarawak yang dibuat tanpa persetujuan MPN Sarawak adalah tidak sah," katanya.

Berita Harian X