Khamis, 21 November 2019 | 6:14pm
Ketua pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Ahli Parlimen Bera ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Lembaga Disiplin UMNO bebas siasat pertemuan sulit

KUALA LUMPUR: Pucuk pimpinan UMNO tidak akan campur tangan dalam siasatan Lembaga Disiplin UMNO ke atas beberapa Ahli Parlimennya yang mengadakan pertemuan sulit dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Isnin lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Lembaga Disiplin UMNO bebas memutuskan bagaimana siasatan dijalankan, selain membuat keputusan secara telus dan adil.

“Lembaga Disiplin bebas dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tidak boleh campur tangan dalam cara kes ini diuruskan. Bila sudah dapat keputusan, mereka akan serahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan yang akan menelitinya untuk diluluskan.

“Selepas diluluskan, barulah keputusan itu dibawa kepada MKT untuk membuat keputusan terakhir,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan yang akan dikenakan kepada beberapa Ahli Parlimen UMNO yang mengadakan pertemuan dengan Mohamed Azmin di kediaman Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

Semua wakil rakyat terbabit dikatakan hadir mulai jam 7 malam, sebelum beransur-ansur meninggalkan kediaman Mohamed Azmin pada jam 11 malam, diakhiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin.

Selasa lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berjanji akan menyiasat secara adil dan mengambil tindakan selepas menerima aduan berhubung pertemuan berkenaan.

Berita Harian X