Sabtu, 23 November 2019 | 3:47pm
ANWAR Ibrahim (kiri) bersalaman dengan para perwakilan selepas merasmikan Konvesyen PKR Sarawak di Miri. - Foto NSTP/Kandau Sidi

Akar umbi tentukan calon di Sarawak

MIRI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menentukan calon yang layak bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak menerusi suara peringkat cabang parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu bagi memastikan calon parti itu mampu menang, sekali gus menjayakan misi untuk menawan Sarawak.

Beliau berkata, semua pihak termasuk Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, wajar mematuhi keputusan dibuat di peringkat akar umbi untuk merealisasikan kemenangan calon PKR.

“Saya sendiri akan membuat keputusan akhir berdasarkan suara akar umbi dalam menentukan calon yang akan bertanding untuk pilihan raya Sarawak. Saya harap semua pihak akur keputusan yang dibuat.

“Sudah tiba masa untuk kita fokus memastikan kemenangan besar bagi PKR di Sarawak,” katanya pada Konvesyen Keadilan Sarawak di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Miri, Dr Micheal Teo Yu Keng. Namun, Baru tidak hadir.

Anwar berkata, PKR dan Pakatan Harapan (PH) perlu belajar daripada kekalahan calon PH pada pilihan raya kecil di Tanjung Piai.

“Sebab itu saya tidak dapat lama menghadiri konvensyen ini kerana terpaksa menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur jam 3 petang ini.

“Pada mesyuarat itu nanti kita akan membincangkan punca kekalahan di Tanjung Piai supaya ia dapat mengenal pasti kesilapan yang berlaku,” katanya.

Berita Harian X