Ahad, 24 November 2019 | 9:36pm
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Zakaria Abdul Hamid (kiri) dan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Zakaria Abdul Hamid (kiri) dan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim.

Saya terkejut dipecat - Zakaria

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Zakaria Abdul Hamid menyifatkan pemecatannya daripada parti itu sebagai berita yang mengejutkan.

Zakaria dalam satu kenyataan malam menjelaskan tidak dimaklumkan mengenai sebarang pertuduhan disiplin terhadapnya oleh mana-mana pihak.

“Saya menerima maklum mengenai berita bahawa saya dipecat daripada PKR petang tadi melalui hebahan media. Perkara ini amat mengejutkan kerana saya sama sekali tidak dimaklumkan melalui apa-apa cara pertuduhan disiplin terhadap saya.

“Apatah lagi tindakan itu diambil tanpa melalui proses memanggil saya untuk membela diri seperti yang biasa dilakukan oleh mana-mana badan politik berkanun,” katanya.

Zakaria yang juga Ketua Cabang PKR Bera bersama seorang lagi anggota parti itu dipecat daripada PKR berkuat kuasa hari ini atas dakwaan terbabit dalam rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu.

Pemecatan mereka disahkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim hasil mesyuarat bulanan MPP hari ini.

Menurut Ahmad, kedua-dua individu itu dipecat selepas menerima bukti kukuh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zakaria akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada kepemimpinan parti berhubung pemecatannya.

Berita Harian X