Jumaat, 29 November 2019 | 1:07pm

Pemecatan 2 pemimpin AMK tak jejas pendaftaran PKR - Fahmi

PETALING JAYA: Pemecatan Pengerusi Tetap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Mizan Adli Mohd Noor dan timbalannya, Mohd Ramly Ahmad, dibuat mengikut cara betul dan tidak memberi kesan terhadap pendaftaran parti.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata hanya parti dan cabang PKR didaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), bukannya sayap AMK serta Wanita.

Sehubungan itu, katanya, isu pemecatan Pengerusi Tetap dan timbalannya berada di bawah bidang kuasa peraturan bagi sayap AMK dan tidak membabitkan badan utama seperti cabang dan parti itu sendiri.

“Setakat ini tidak jadi isu kerana pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap di bawah bidang kuasa bagi sayap anggota PKR, tidak membabitkan sayap atau cabang dan PKR sendiri.

“Mengikut pandangan pimpinan, pemecatan tidak menjejaskan apa perkara pun dalam isu yang dibangkitkan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Fahmi berkata, pemecatan dilihat sebagai usaha membaiki pentadbiran dan ia dikesan selepas sayap AMK selesai menjalankan mesyuarat agung tahunan.

Katanya, proses mesyuarat tahunan sayap AMK dan Wanita selesai Ogos lalu sebelum pejabat Setiausaha Agung menerima laporan serta persiapan kongres dimulakan dengan meneliti semua perkara berbangkit.

“Jika ada yang bertanya kenapa sekarang (pemecatan) dan bukan setengah tahun lalu, lazimnya isu kongres akan timbul selepas mesyuarat agung tahunan bagi sayap dan cabang selesai.

“Kami sudah menyelesaikan proses mesyuarat tahunan peringkat AMK, Wanita dan Cabang pada Ogos lalu. Pejabat setiausaha menerima laporan mesyuarat sebulan atau dua lalu, maka perbincangan dan persiapan kongres dimulakan pada waktu itu.

“Dari segi pengurusan dan pentadbiran, ia sebahagian proses mengurus kongres dan tidak menjejaskan status parti. Pendaftaran PKR dan cabang itu yang ada pada pihak ROS, bukannya sayap AMK atau Wanita,” katanya.

Fahmi berkata, isu dua pemimpin itu berlaku pada kongres AMK tahun lalu sebelum berbangkit semula selepas mesyuarat agung tahunan AMK kali ini.

Dalam surat pemecatan bertarikh 27 November yang ditandatangani Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razab, kedua-dua pemimpin berkenaan dimaklumkan mereka dilucut jawatan kerana ada keraguan timbul berdasarkan pemilihan sebelum ini.

Surat itu menyebut, pengiraan secara manual mendapati kedua-duanya menerima jumlah undi lebih tinggi berbanding bilangan perwakilan yang layak mengundi.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil pada sidang media Kongres KEADILAN 2019, di Ibu Pejabat KEADILAN, Merchant Square, Damansara. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X