Jumaat, 29 November 2019 | 2:43pm
Gambar fail, Ketua Angkatan Muda Keadilan Gombak, Muhammad Hilman Idham menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Agung Tahunan AMK Gombak 2019 di Dewan Perdana Indera, Kompleks Warisan Baiduri, Taman Melewar Indah, Ogos lalu. - Foto Aswadi Alias

Dua kumpulan dalam AMK terus bertelagah

KUALA LUMPUR: Pertelagahan dua kumpulan dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK) terus memuncak apabila masing-masing mempertahankan tindakan dan pendirian dalam isu pemecatan pengerusi dan timbalan pengerusi tetap pergerakan daripada jawatan itu.

Selepas Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham mengesahkan Muhamad Mizan Adli Mohd Noor dan Mohd Ramly Ahmad masing-masing kekal memegang jawatan itu, Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Raza pula tampil membidas kenyataan itu.

Menerusi kenyataan hari ini, Ahmad Syukri menegaskan perlucutan dua jawatan berkenaan tetap sah mengikut Peraturan Tetap AMK 2014.

Beliau berkata, Muhammad Hilman gagal memahami Perkara 5.1 dan 5.3 peraturan tetap berkenaan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu mempertikai perlucutan jawatan berkenaan berdasarkan Perkara 5.2 peraturan yang sama.

“Perkara 5.1 menyatakan ‘Semua anggota parti yang tidak akan mencapai usia tiga puluh lima (35) pada 31 Disember tahun berkenaan adalah menjadi anggota Angkatan Muda’.

“Ketika pemilihan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap dijalankan pada 16 November 2018, Mizan Adli sudah berumur 35 tahun, manakala Mohd Ramly berumur 38 tahun.

“Perkara 5.3 pula secara jelas menyatakan ‘Hanya Anggota AMK boleh dipilih atau dilantik untuk memegang jawatan dalam AMK.Oleh itu Perkara 5.2 tidak terpakai dalam kes Mizan Adli dan Mohd Ramly yang secara automatik hilang kelayakan untuk memegang apa-apa jawatan dalam AMK,” katanya.

Ahmad Syukri berkata, Perkara 5.2 yang dibangkitkan Muhammad Hilman hanya terpakai kepada mana-mana anggota yang masih berada di bawah had umur AMK ketika dilantik dan melepasi had umur itu ketika memegang jawatan.

“Sebagai contohnya, saya dilantik menjadi Setiausaha AMK ketika berumur 34 tahun dan akan memegang jawatan selama tiga tahun. Jawatan ini kekal walaupun saya akan melepasi had umur AMK.

“Saya juga mendapati Timbalan Ketua AMK cuba mengalih fakta sebenar mengenai keraguan jumlah undi keseluruhan bagi pemilihan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap yang melebihi jumlah perwakilan layak mengundi,” katanya.

Beliau berkata, Muhammad Hilman cuba membangkit isu kelemahan kepemimpinan AMK sehingga jumlah perwakilan layak mengundi begitu rendah.

“Apa juga sentimen murahan yang cuba dimainkan oleh Timbalan Ketua AMK tetap tidak menafikan fakta yang sememangnya wujud keraguan dalam proses pengundian.

“Malah beliau seperti meludah ke langit apabila mengatakan kepemimpinan AMK lemah dalam keadaan beliau juga sebahagian daripada Majlis Pimpinan AMK.

“Mungkin Timbalan Ketua AMK terlepas pandang terhadap banyak perkara memandangkan beliau hanya hadir sekali mesyuarat Majlis Pimpinan AMK,” katanya.

Berita Harian X