Jumaat, 29 November 2019 | 2:55pm
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil bersama Pengurus Operasi Ibu Pejabat PKR, Rezal Huzairi Md Zaki menunjukan logo Kongres selepas sidang media berkenaan Kongres KEADILAN 2019, di Ibu Pejabat KEADILAN, Merchant Square, Damansara. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Wan Azizah rasmi sayap AMK, Azmin rasmi sayap Wanita

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan merasmikan kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK), manakala Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merasmikan kongres Wanita, pada Kongres Nasional PKR 2019, minggu depan.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, ketika mengesahkan perkara itu, berkata perasmian sayap PKR itu dibuat pada tarikh yang berbeza iaitu sayap Wanita pada 5 Disember manakala perasmian AMK pada keesokannya.

“Setakat yang dimaklumkan hingga hari ini, untuk perasmian Wanita, pihak sekretariat Kongres Wanita memaklumkan akan dirasmikan Timbalan Presiden, manakala AMK akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Isu pemimpin yang akan merasmikan AMK dan Wanita itu berlarutan sejak beberapa minggu lalu apabila Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir membatalkan undangan kepada Azmin, sebaliknya menjemput Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR.

Penyokong Azmin bertegas bahawa secara tradisi, Timbalan Presiden PKR akan merasmikan kongres sayap parti terbabit.

Ahmad Fahmi berkata, setakat ini Azmin belum mengesahkan kehadirannya tetapi pengesahan itu adalah di bawah sekretariat kongres Wanita.

“Saya tidak terima apa-apa maklumat yang menyatakan sama ada dia (Azmin) akan hadir. Ini adalah di bawah pengurusan sekretariat bagi kongres Wanita. Setakat ini Biro Politik dan sekretariat bagi Kongres Nasional belum dimaklumkan mengenai perkara ini,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata, kongres itu bersejarah kerana bukan saja menjadi platform penting menilai mutu wakil rakyat daripada PKR dan dasar kerajaan, malah mengenai gagasan wawasan pandangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terutama menjelang tempoh peralihan pimpinan pada tahun depan.

Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka International Trade Centre (MITC) pada 6 hingga 8 Disember ini akan dihadiri 2,617 perwakilan daripada 221 cabang PKR.

Ahmad Fahmi, mengingatkan semua pimpinan dan perwakilan supaya menonjolkan sikap matang dalam menyuarakan apa juga pandangan.

Parti mempunyai platform dan saluran yang baik untuk berbincang dan mencari titik temu bagi sebarang perbezaan pandangan.

“Saya beri peringatan umum kepada semua pimpinan dan perwakilan yang akan hadir bahawa sebagai parti yang sebahagian dalam kerajaan, kita perlu menonjolkan sikap matang dalam menyuarakan pandangan dan parti juga mempunyai platform dan saluran baik untuk kita bincang dan cari titik temu bagi sebarang perbezaan pandangan.

“Apa pun sebagai parti yang dinamik dan rencam, semestinya sebarang tindakan kita akan diperhatikan dan saya difahamkan, lembaga disiplin juga akan mengingatkan semua anggota parti agar sentiasa patuh tata etika dan disiplin parti.

“Untuk menyuarakan (pandangan) tiada menjadi isu dan masalah selagi tidak langgar tata etika dan disiplin parti. Itu yang menjadi batasnya,” katanya.

Berita Harian X