Isnin, 2 Disember 2019 | 1:40pm
Gambar fail, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil pada sidang media Kongres KEADILAN 2019, di Ibu Pejabat KEADILAN, Merchant Square, Damansara. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Tiada usul undi tak percaya terhadap Anwar dalam Kongres PKR

KUALA LUMPUR: Tiada usul undi tidak percaya terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikemukakan Cabang parti atau Angkatan Muka Keadilan (AMK) untuk dibahaskan pada Kongres Nasional PKR di Melaka, hujung minggu ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata tiada sebarang usul seumpamanya dibawa kepada jawatankuasa usul bagi kongres berkenaan untuk dipertimbangkan, sebaliknya yang ada adalah usul menyokong kepimpinan Anwar selaku Presiden parti.

“Mekanisme untuk angkat usul untuk dibahas di kongres adalah melalui mesyuarat agung tahunan Cabang serta sayap AMK dan Wanita PKR.

“Setiausaha Pengelola untuk AMK maklumkan tiada sebarang usul undi tidak percaya terhadap Presiden PKR daripada sayap itu, dan saya boleh sahkan tiada Cabang membawa usul itu.

“Maka, untuk Kongres, tak timbul isu usul undi tidak percaya daripada Cabang atau sayap parti berdasarkan laporan mesyuarat agung tahunan masing-masing yang diadakan antara Ogos hingga Oktober lalu,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan beberapa pemimpin AMK diketuai Naib Ketua AMK PKR Lembah Pantai, Nazrin Idham Razali yang mengusulkan undi tidak percaya terhadap Anwar, semalam.

Berhubung desas-desus kumpulan dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, merancang mengadakan himpunan di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu dan Ahad ini, tarikh sama Kongres Nasional PKR berlangsung, Fahmi berkata, ia hanya akan menjejaskan kedudukan pihak yang menganjurkannya.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, menegaskan hanya satu kongres yang akan diiktiraf, iaitu yang akan berlangsung pada Jumaat hingga Ahad ini di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka.

"Satu kongres saja jika ikut perlembagaan dan berdasarkan kuasa untuk memanggil kongres (ia ialah) daripada parti.

"Setakat ini, Kongres Nasional yang akan berlangsung adalah bermula 6 hingga 8 Disember ini di MITC, Melaka. Tak timbul isu lain.

"Ia hanya akan menjejaskan kedudukan mereka (jika himpunan serentak dengan Kongres Nasional PKR diadakan)," katanya.

Berhubung laporan mengatakan Azmin menghantar wakilnya untuk berdamai dengan Anwar, Fahmi memaklumkan tiada maklumat mengenai perkara itu, namun ahli mahukan kepimpinan yang bersatu padu menjelang Kongres Nasional PKR.

"PKR adalah sebahagian dalam blok pemerintah dan miliki Ahli Parlimen paling ramai, maka semestinya rakyat harapkan kepimpinan kita bersatu padu," katanya.

Berita Harian X