Selasa, 3 Disember 2019 | 12:59pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad (dua dari kiri) bersama Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil (kiri) pada sidang media selepas melawat tapak kemalangan lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Elak langgar disiplin

KUALA LUMPUR: Ahli PKR diminta mengelak daripada melakukan tindakan yang melanggar disiplin parti sehingga menyebabkan tindakan diambil.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata ahli parti diberi ingatan akhir supaya tidak melakukan perkara yang melanggar disiplin.

Beliau menegaskan hanya ada satu Kongres Nasional rasmi mengikut perlembagaan PKR, iaitu yang dijadual pada 5 hingga 8 Disember di Melaka.

“Perbincangan Kongres Nasional PKR setakat ini semuanya berjalan lancar dengan jangkaan lebih 2,600 anggota akan menghadirinya.

“Peringatan saya supaya sentiasa berwaspada patuh tata etika. Saya rasa penegasan daripada pemimpin dalam parti ialah keperluan pimpinan dan anggota untuk sentiasa mematuhi disiplin.

“Banyak tindakan disiplin yang boleh diambil oleh parti. Mungkin perlu rujuk jawatankuasa atau lembaga disiplin,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak kemalangan lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan mengatakan kumpulan dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merancang mengadakan satu himpunan di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu dan Ahad ini, tarikh sama Kongres Nasional PKR berlangsung di Melaka.

Berita Harian X