Selasa, 3 Disember 2019 | 5:25pm
KETUA Menteri Sabah merangkap Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - Foto Malai Rosmah Tuah

Ahli WARISAN siap sedia, jangan terlalu yakin - Mohd Shafie

KOTA KINABALU: Semua ahli dan pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) perlu bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Peringatan itu diberikan Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang menegaskan biarpun yakin parti akan mendapat sokongan, mereka perlu mendampingi dan merayu setiap pengundi untuk memberi sokongan dalam PRK itu.

“Kita jangan alpa, (sebaliknya) kita perlu merayu kerana kita perlu mendampingi rakyat, bukan panjang masanya bagi kita untuk menzahirkan apa yang berlaku selama setahun lebih, hampir dua tahun.

“Bukan mudah melaksanakan perkara yang dikehendaki rakyat, namun saya yakin rakyat Sabah mempunyai harapan cukup tinggi terhadap kerajaan negeri yang baharu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Tokyo, malam tadi.

Mohd Shafie mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengekalkan penghakiman Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Jelas Mohd Shafie lagi, beliau kini berusaha menzahirkan harapan pengundi di Kimanis yang mahu kerajaan menyelesaikan beberapa isu di daerah itu terutama berkaitan tanah.

“Baru-baru ini saya membuat lawatan ke tempat itu (Kimanis) dan kita bawa sedikit inisiatif untuk kilang perabot dan beberapa inisiatif, insya-Allah kita akan menzahirkan.

“Apa yang penting, kita perlu membuat persediaan anggota parti kita khususnya WARISAN dan komponen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, PKR, DAP serta UPKO,” katanya.

Mohd Shafie turut memaklumkan beliau akan mengadakan mesyuarat bersama semua pimpinan parti kerajaan selepas kembali dari misi pelaburan di Jepun.

Mengenai calon, katanya, nama belum ditentukan kerana beliau perlu mendapatkan laporan daripada pelbagai pihak terlebih dulu.

Bagaimanapun, beliau memberi bayangan kemungkinan WARISAN akan bertanding memandangkan parti meletakkan calon di kerusi itu pada PRU-14.

“Bila kita letak calon, sesuatu yang tidak diingini berlaku dan alhamdulillah, pihak mahkamah membuat keputusan tepat, tetapi kita perlu merayu kepada pengundi khususnya di Kimanis,” katanya.

Berita Harian X