Selasa, 3 Disember 2019 | 10:04pm
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

'Anasir perosak' dalam PKR berdepan tindakan tegas

KUALA LUMPUR: PKR akan mengambil tindakan tegas terhadap ‘anasir perosak’ yang cuba mendalangi gerakan untuk mengganggu gugat keharmonian dan perpaduan parti.

Amaran keras itu dikeluarkan susulan wujud pemalsuan tanda tangan dan tindakan menukar kandungan deraf kenyataan yang menuntut permohonan maaf daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata PKR memandang serius kenyataan segelintir kepemimpinan yang mendesak supaya Presiden memohon maaf atas keputusan pemecatan dua anggota parti.

Meskipun mengamalkan prinsip keterbukaan dan demokrasi, PKR sebagai pertubuhan politik matang menegaskan bahawa segala isu melingkari hal ehwal parti harus melalui saluran yang betul, iaitu mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“PKR juga terkejut dengan kenyataan saudara Naib Presiden, Tian Chua dan R Sivarasa apabila menafikan wujud desakan permohonan maaf terhadap Presiden (Anwar) di dalam deraf kenyataan asal yang ditandatangani.

“Dengan kenyataan mereka itu secara tuntas menunjukkan ada penipuan oleh segelintir pemimpin tertentu yang memanipulasi deraf kenyataan asal, bertujuan untuk memalukan Presiden PKR.

“Ia satu kesalahan serius kerana ada yang menipu dan mengelirukan beberapa pimpinan, termasuk Tian (Chua) serta Sivarasa, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana nama mereka dimasukkan di dalam kenyataan ditandatangani Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali).

“Natijahnya, persepsi yang salah dengan sengaja diwujudkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 30 November lalu, 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR dilaporkan sebulat suara menolak pemecatan Zakaria sebagai Ahli MPP parti itu dan menuntut Anwar memohon maaf.

Kenyataan bersama dalam memo bertajuk ‘Pemecatan Zakaria Abdul Hamid Sebagai Ahli MPP Keadilan Adalah Tidak Sah’ yang ditujukan kepada Lembaga Disiplin PKR itu antara lain dikatakan terdiri daripada Mohamed Azmin dan dua Naib Presiden, iaitu Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua.

Tujuh belas nama lain di dalam memo berkenaan ialah Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha; Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Hilman Idham dan Timbalan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi.

Ahli MPP lain termasuk Amiruddin Shaari, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Sivarasa, Rahimah Majid, Elizabeth Wong, Datuk Saifuddin Abdullah, Radzlan Jalaluddin, Datuk Dr Mansor Othman, Datuk Kamaruddin Jaafar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian, Datuk Seri R Santhara Kumar serta Zakaria sendiri.

Rentetan polemik daripada kenyataan bersama itu, Shamsul mahu semua ahli PKR menghayati semangat penubuhan parti dan menolak politik keji sedemikian, selain bersama mengukuhkan muafakat demi rakyat serta memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Kongres PKR Nasional di Melaka.

Berita Harian X