Rabu, 4 Disember 2019 | 9:38pm
Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham. - NSTP/Aswadi Alias

Kemelut selesai, ahli AMK diminta hadir Kongres Nasional PKR 2019

KUALA LUMPUR: Ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) seluruh negara diminta hadir meraikan Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka, yang bakal berlangsung mulai esok.

Isyarat penyatuan itu mencerminkan langkah perdamaian yang dicapai menerusi resolusi untuk mengembalikan tradisi perasmian kongres dan konvensyen PKR dilaksanakan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham, berkata pergerakan sayap muda PKR amat menghargai usaha kepemimpinan menyelesaikan kemelut perasmian Kongres Nasional AMK 2019 yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.

“Seluruh kepimpinan dan anggota AMK menyambut baik resolusi yang dicapai melalui perbincangan sebentar tadi untuk mengembalikan tradisi serta konvensyen parti dengan Perasmian Kongres Nasional AMK dan Wanita 2019 oleh Timbalan Presiden pada 5 Disember ini.

“Kami juga mengalu-alukan keputusan untuk melaksanakan perasmian penutup bersama Kongres Nasional AMK dan Wanita oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, (Pengerusi Majlis Penasihat PKR) pada 6 Disember ini.

“Justeru, seluruh perwakilan, pemerhati dan pergerakan AMK dari seluruh negara diminta untuk hadir bagi meraikan Kongres Nasional AMK serta Kongres Nasional PKR ke-14 di MITC, Melaka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 29 November lalu, Muhammad Hilman dilaporkan berkata pihaknya menghantar surat pengesahan kehadiran Mohamed Azmin untuk merasmikan kongres nasional kedua-dua sayap PKR itu.

Bagaimanapun, Ketua AMK, Akmal Nasrullah, berkata Mohamed Azmin akan hanya merasmikan Kongres Wanita manakala Kongres Nasional AMK akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Berikutan itu, kumpulan yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin kemudian merancang satu perhimpunan lain di Kuala Lumpur pada Sabtu dan Ahad, tarikh yang sama dengan Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka.

Berita Harian X