Jumaat, 6 Disember 2019 | 11:18am

Kecoh di pintu masuk kerana tiada pas

AYER KEROH: Suasana kecoh tercetus di hadapan pintu masuk dewan persidangan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) pagi ini apabila sejumlah perwakilan dan ahli sayap PKR itu tidak dibenarkan masuk.

Pertikaman lidah itu turut menyaksikan pergaduhan fizikal antara dua ahli.

Kekecohan itu bermula sekitar jam 8.30 pagi apabila pasukan keselamatan parti tidak membenarkan beberapa perwakilan dan anggota AMK masuk atas alasan tidak memiliki pas, selain tidak memakai baju Melayu.

Kekecohan berlaku di pintu masuk dewan pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. - NSTP/Rasul Azli Samad

Turut tidak dibenarkan masuk adalah bekas Pengerusi Tetap AMK, Mizan Adli Mohd Noor, yang dipecat daripada jawatannya pada 24 November lalu.

Kekecohan itu berlaku lebih 30 minit, dengan sejumlah perwakilan bertikam lidah dengan skuad keselamatan parti, selain berlaku tolak menolak, sebelum keadaan sedikit tenang apabila mereka dibenarkan masuk seorang demi seorang.

Mizan Adli ketika ditemui media menegaskan, beliau berhak untuk masuk ke dalam dewan persidangan dan sepatutnya terbabit dalam kongres sewaktu pelantikan Pengerusi Tetap AMK yang baharu diumumkan.

“Bagaimana kongres boleh berlangsung tanpa saya di dalam (selaku Pengerusi Tetap). Apabila saya dapat masuk, saya ditolak keluar, dipukul dan dicekak di bahagian belakang. Mana keadilan?

“Sebahagian besar perwakilan dihalang masuk kerana tidak pakai baju Melayu, sedangkan ketetapan itu tidak pernah diputuskan.

“Saya anggap Kongres AMK ini tidak sah kerana kalau nak buat pelantikan Pengerusi Tetap yang baharu, saya perlu berada di dalam,” katanya, yang menegaskan akan membuat laporan polis atas kekasaran fizikal terhadapnya.

Sebaik berakhir sidang media bersama Mizan Adli, keadaan kembali kecoh apabila perwakilan yang tidak dapat masuk cuba merempuh masuk dewan persidangan.

Pergaduhan fizikal antara seorang perwakilan dengan seorang pemerhati berbaju hitam menyebabkan keadaan bertukar tegang, dengan pergaduhan berterusan sehingga ke luar pusat persidangan, sebelum keadaan kembali terkawal.

Berita Harian X