Sabtu, 7 Disember 2019 | 12:02am
Khalid mendapat undian tertinggi dengan 786 undi dalam pemilihan AJK Pimpinan Nasional 2019-2022 pada Konvensyen Nasional AMANAH 2019 di Shah Alam. - NSTP/Sairien Nafis

Undi tertinggi bukan tiket jadi Presiden - Khalid

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, berkata kejayaan meraih undi tertinggi pada pemilihan Parti Amanah Negara (AMANAH), malam tadi, bukan tiket untuk beliau menjadi Presiden parti.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, ia kerana semua jawatan dalam parti akan diputuskan pada mesyuarat dihadiri kesemua 27 pemimpin yang memperoleh undi tertinggi.

“Siapa (menjadi Presiden) tidak penting. Kita akan duduk bersama dan bincang siapa (menjadi Presiden). Itu sistem yang diguna pakai.

“Semua jawatan akan diputuskan pada mesyuarat nanti,” katanya kepada BH, di sini.

Mengulas lanjut, Khalid turut melahirkan kesyukuran kerana menerima jumlah undi tertinggi pada pemilihan AMANAH.

“Faktor pemilihan Shah Alam sebagai penganjur Konvensyen AMANAH turut mempengaruhi sentimen perwakilan ketika proses pengundian.

“Saya doakan semuanya dapat berjalan lancar dan barisan kepemimpinan AMANAH yang diberi kepercayaan oleh perwakilan akan melakukan tugas sebaik mungkin,” katanya.

Khalid berjaya memperoleh jumlah undi tertinggi dengan 786 undi, diikuti Datuk Mahfuz Omar (780), Datuk Seri Salahudin Ayub (765), manakala penyandang jawatan Presiden parti, Mohamad Sabu, berada di kedudukan ketujuh dengan 681 undi.

Berita Harian X