Sabtu, 7 Disember 2019 | 2:54pm
Ketua UMNO Bahagian Segambut, Mahadir Sulaiman. - NSTP/Asyraf Hamzah

PRK Kimanis medan kedua ukur keberkesanan Muafakat Nasional

KUALA LUMPUR: Kemenangan perlu berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kcil (PRK) Parlimen Kimanis di Sabah, bagi membuktikan keberkesanan kerjasama Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS.

Perkara itu disuarakan beberapa perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Segambut, Mahadir Sulaiman, berkata PRK Kimanis perlu dijadikan tempat untuk parti mengukur keberkesanan kerjasama itu.

Katanya, bukan hanya orang UMNO saja yang berharap kemenangan berpihak kepada BN di PRK Kimanis, tetapi rakyat juga mengharapkan yang sama.

“PRK Kimanis adalah harapan kepemimpinan dan ahli UMNO serta rakyat untuk melihat BN menang sekali lagi. Kita mahu Kimanis jadi PRK kelima berpihak kepada BN atas dasar Muafakat Nasional.

“Kawan UMNO di Sabah jadikan kelulusan parti memberikan autonomi kepada negeri itu sebagai azimat untuk menang di PRK Kimanis,” katanya.

Perkara sama disuarakan Ketua Pemuda UMNO Sabah, Abdul Aziz Julkarnain, yang menyeru parti membantu UMNO negeri itu memastikan kemenangan di PRK Kimanis.

Katanya, kemenangan di Kimanis penting bukan saja mengukur keberkesanan Muafakat Nasional, tetapi mengembalikan semangat untuk UMNO negeri itu selepas lebih 21 Ketua Bahagian meninggalkan parti.

“Cabaran di Sabah berbeza kerana kami berhadapan masalah kepemimpinan yang melompat parti, jadi bantulah kami untuk menang bagi membuktikan UMNO tetap utuh di Sabah walaupun ramai yang sudah belot,” katanya.

Berita Harian X