Ahad, 8 Disember 2019 | 6:06pm
MOHAMAD Sabu menyampaikan ucapan penggulungan ketika Konvensyen Nasional 2019 Parti Amanah Negara di IDCC Shah Alam, Selangor. - Foto NSTP/Saddam Yusoff

Jangan bawa naratif perkauman dalam AMANAH - Presiden

SHAH ALAM: Ahli dan pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) diingatkan supaya tidak membawa naratif perkauman dalam parti itu.

Presidennya, Mohamad Sabu, berkata naratif itu didengari sejak enam dekad lalu dan sering diulang-ulang.

“Perkauman ini saya dengar dari Darjah Enam hingga sekarang, sudah enam siri umur. Dulu musim surat layang, kita dengar perbincangan. Saya dengar Lee Kwan Yew dan Lim Kit Siang berbual dalam bahasa Cina.

“Dia ingat saya tak faham bahasa Cina. Mereka berbincang bagaimana nak ambil alih pentadbiran negara, nak melemahkan kuasa Raja, nak menjadikan Islam bukan agama rasmi dan tulisan itu disebarkan kepada orang ramai terutama menjelang pilihan raya.

“Cerita yang sama tersebar melalui WhatsApp. Oh, orang Cina ada rancangan, nak menjatuhkan Raja Melayu, nak menjadikan Islam bukan agama rasmi, Kristian agama rasmi. Ini perbualan antara Lim Guan Eng dengan seorang pemimpin Singapura.

“Sekarang pakai WhatsApp dulu pakai surat layang, serupa saja,” katanya menyampaikan ucapan penangguhan pada Konvensyen Nasional AMANAH 2019 di Pusat Konvensyen Ideal, di sini, hari ini.

Mohamad yang sekali lagi dipilih untuk menerajui AMANAH pada pemilihan pertama parti itu, berkata naratif perkauman itu masih digunakan sehingga timbul boikot kepada masyarakat bukan Islam serta kempen ‘Buy Muslim first’ (BMF).

Beliau berkata, Islam mengajar umatnya berlumba-lumba membuat kebaikan, maka naratif sedemikian perlu dihentikan dan digantikan dengan Islam sebagai rahmat untuk semua.

Mohamad turut menegur sikap orang Melayu yang tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan isu berkaitan masyarakat berkenaan, berbanding kaum bukan Melayu.

Ketika masyarakat Melayu mengkritik Dong Jiao Zong, beliau yang juga Menteri Pertahanan memuji pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang amat mengambil berat mengenai hal budaya dan pendidikan orang Cina.

Mohamad turut mengingatkan ahli dan pemimpin AMANAH supaya terus menyantuni ahli PAS walaupun mereka sudah meninggalkan parti itu.

“Saya setuju dengan apa yang dikatakan beberapa pemimpin AMANAH iaitu kita tinggalkan PAS, tetapi jangan tinggalkan ahli PAS.

“Jika sempat, kita ziarah. Saya sempat ziarah seorang pimpinan PAS, dia pegang tangan saya tak lepas. Dia kata, ‘kau menteri sekarang ya’. Saya nampak dari matanya terpancar kasih sayang tidak terhingga.

“Saya yakin Presiden parti lama saya masih sayang pada saya. Kita pun sayang pada dia tapi dia tak mahu sayang kita,” katanya.

Sebelum tewas dalam pemilihan PAS pada 2015, Mohamad adalah Timbalan Presiden parti itu.

Berita Harian X