Isnin, 9 Disember 2019 | 6:23pm
KHALID Abdul Samad (tengah) bersama sebahagian kanak-kanak penerima sumbangan pada Majlis Bantuan Persekolahan Kumpulan Pelaksana Kementerian Wilayah Persekutuan di Menara Seri Wilayah. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Mohamad Sabu kekal untuk perkukuh AMANAH - Khalid

PUTRAJAYA: Pengekalan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sebagai Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) bagi penggal kedua adalah keputusan bersama semua kepemimpinan dalam memastikan parti terus maju dan kukuh.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad, berkata parti mempunyai kaedah tersendiri memilih pucuk pimpinan secara kolektif dan ia bertujuan mengelak perpecahan atau wujudnya dua kumpulan dalam parti.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, pemilihan itu untuk memilih 27 jawatankuasa peringkat nasional bagi sesi 2019-2022 sebelum mesyuarat memutuskan mengekalkan kepemimpinan sedia ada.

“Saya okay… keputusan memilih dua jawatan tertinggi itu diputuskan sebulat suara, lagipun cara ini dapat mengelak perpecahan dan wujud puak dalam parti, malah pemilihan ini hanya untuk dilantik menjadi ahli jawatankuasa peringkat nasional saja.

“Jika pemilihan presiden dilakukan, orang berebut jawatan nombor satu dan akan wujud ‘cai’ serta kumpulan hingga adanya kumpulan A dan B, tetapi bagi saya pemilihan yang dilakukan adalah lebih baik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Kembali Ke Sekolah bagi kakitangan kementeriannya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan 786 undi diperolehnya daripada 822 perwakilan dalam pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional di Konvensyen Nasional AMANAH 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, Sabtu lalu adalah yang tertinggi, diikuti Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Mahfuz Omar (780); Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahudin Ayub (765); Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (755); Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (725) dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (687).

Mohamad pula, berada di kedudukan ke tujuh apabila hanya memperoleh 681 undi.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, undi tertinggi diperoleh kerana dirinya tidak mempunyai kontroversi dalam kalangan ahli seperti pemimpin lain.

“Contohnya, Dzulkefly yang juga Pengarah Strategik AMANAH menurun undiannya kerana isu larangan merokok,” katanya.

Terdahulu, Khalid menyampaikan bantuan persekolahan kepada 150 keluarga yang ada anak bersekolah rendah dan menengah sumbangan Kelab Kebajikan dan Sukan Kementerian Wilayah Persekutuan (KESWIP) bersama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) membabitkan beg serta peralatan persekolahan bernilai RM50 dan baucer RM100, manakala YWP menyediakan baucar tambahan RM120.

Berita Harian X