Khamis, 12 Disember 2019 | 4:17pm
PENGERUSI Otai Reformis 98, Dr Idris Ahmad pada sidang media di luar ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi

Otai Reformis 98 desak PKR pecat Mohamed Azmin, 6 yang lain

PETALING JAYA: Otai Reformis 98 mendesak PKR memecat Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan enam pemimpin parti itu yang didakwa melanggar disiplin parti, khususnya tidak menghormati Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Enam pemimpin dimaksudkan ialah Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua; Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha; Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Ketua Angkatan Muda (AMK) Nasional, Muhammad Hilman Idham dan Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin.

Namun, Otai Reformis 98 lebih kuat mendesak PKR memecat Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang didakwa mengaibkan Anwar dalam ucapan di sebuah hotel di ibu negara Ahad lalu.

Pengerusi Otai Reformis 98, Dr Idris Ahmad berkata memorandum mendesak pemimpin terbabit dipecat berdasarkan sikap biadab, ingkar dan menghina Presiden serta pemimpin lain dalam PKR dalam majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama di sebuah hotel di ibu negara, Ahad lalu.

Katanya, Otai Reformis 98 turut menyifatkan tindakan pemimpin terbabit yang tidak hadir atau keluar dewan ketika Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka Sabtu lalu sebagai sabotaj terhadap parti serta Presiden.

“Tindakan tegas ini sangat wajar memandangkan mereka menjejaskan dan mencemar nama baik serta imej parti, termasuk reputasi kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Kami meminta Anwar untuk lebih tegas terhadap pemimpin ini dan tidak boleh berlembut lagi,” katanya pada sidang media di luar ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Bersama Otai Reformasi 98 yang membuat desakan sama ialah Jingga 13, Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MaSSA) dan Anak Reformasi.

Memorandum itu diterima Zara Zaharu, pembantu peribadi kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Berita Harian X