Khamis, 2 Januari 2020 | 11:41am
Hari penamaan calon PRK Parlimen Kimanis pada Sabtu ini. - Foto NSTP

Patuhi Akta 5 jamin kelancaran hari penamaan calon

KUALA LUMPUR: Penggunaan sebarang alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan diayah atau penyebaran politik melalui sebarang cara pada hari penamaan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabtu ini, menyalahi Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan parti politik yang terbabit supaya bertanggungjawab mengawal penyokong pada setiap masa bagi menjamin proses penamaan calon berjalan lancar.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata orang ramai serta penyokong parti politik turut dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon.

Beliau berkata, jika ada mana-mana pihak yang melanggar peruntukan seksyen berkenaan, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.

“SPR berhasrat supaya proses penamaan calon berjalan lancar tanpa apa-apa insiden tidak baik, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“SPR menyeru kepada semua calon dan parti politik yang terbabit supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada hari penamaan calon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pusat penamaan calon bagi PRK Parlimen Kimanis ditetapkan di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort, Sabah.

Pada hari penamaan calon, kertas penamaan calon boleh dikemukakan dalam tempoh sejam bermula jam 9 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya oleh calon, pencadang dan penyokong atau mana-mana dua orang atau seorang daripada mereka.

Azhar Azizan berkata, jika mana-mana bakal calon sudah membayar deposit pilihan raya, mereka perlu membawa resit pembayaran pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.

Beliau turut mengingatkan calon yang mewakili mana-mana parti politik supaya mengemukakan surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili ketika menyerahkan kertas penamaan calon.

Berita Harian X