Isnin, 6 Januari 2020 | 9:47am
PRESIDEN WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Naib Presidennya, Datuk Peter Anthony hadir pada majlis pelancaran cawangan baharu WARISAN di Kampung Kelatuan, semalam. - Foto Khairull Azry Bidin
PRESIDEN WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Naib Presidennya, Datuk Peter Anthony hadir pada majlis pelancaran cawangan baharu WARISAN di Kampung Kelatuan, semalam. - Foto Khairull Azry Bidin

PRK Kimanis: WARISAN mula gempur kawasan hitam

KIMANIS: Parti Warisan Sabah (WARISAN) mula menggempur kawasan hitam yang sebelum ini menjadi kubu Barisan Nasional (BN) dalam usaha meningkatkan sokongan pengundi bagi memenangkan calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Menggunakan slogan ‘Tolak BN, Cukuplah di Sabah’, jentera WARISAN bagi kawasan masyarakat Kadazandusun yang diketuai Naib Presidennya, Datuk Peter Anthony mula menumpukan usaha menawan hati pengundi di sekitar Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Enam, di sini.

Peter mengetuai sendiri kempen rumah ke rumah bermula di Kampung Kelatuan, di sini selepas pelancaran cawangan baharu WARISAN dan penyerahan borang keahlian 111 orang bekas ahli UMNO kepada Presiden WARISAN yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, petang semalam.

BN menguasai undi di PDM berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) melalui calonnya ketika itu, Datuk Seri Anifah Aman di kerusi Parlimen, manakala Datuk Mohamad Alamin yang berasal dari Kampung Kelatuan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan.

Mohamad yang gagal mempertahankan kerusi DUN Bongawan selepas kalah di tangan calon WARISAN, Dr Daud Yusof pada PRU-14, dicalonkan semula oleh BN pada PRK Kimanis.

Mohd Shafie berkata, sudah cukup 50 tahun BN memerintah Sabah dan tidak perlu mengembalikannya atau memberikan sokongan kepada parti pembangkang itu.

“Saya adalah bekas Naib Presiden UMNO. Jadi, saya tahu mereka (UMNO dan BN) sebab itu saya kata cukup, jangan bagi tempat lagi kepada mereka di Sabah.

“Datang sini cakap kalau menang akan bangunkan negeri ini, sedangkan 50 tahun memerintah mereka tidak bangunkan. Jangan kata kita tidak boleh urus negeri, bukan BN saja yang boleh,” katanya.

Beliau mengakui, calon WARISAN, Datuk Karim Bujang mungkin pernah melakukan kesilapan atau tidak sempurna, namun ia boleh dimaafkan dan diperbetulkan demi masa depan anak cucu rakyat Kimanis.

“Jangan kira Karim Bujang itu, dia dicalon jadi wakil kita kerana dia yang mengheret kes petisyen pilihan raya Kimanis ke mahkamah. Mana boleh orang lain usaha orang lain yang dapat,” katanya menjelaskan alasan pemilihan Karim sebagai calon.

Terdahulu, Peter berkata jentera WARISAN untuk mendekati pengundi Kadazandusun yang diketuainya akan berusaha memastikan kawasan yang sebelum ini ramai penyokong pembangkang dapat berubah menyokong WARISAN.

“Kita sedar ada kawasan seperti di Kelatuan ini yang mana ramai di antara mereka menyokong calon BN tetapi kita akan pastikan keadaan itu berubah kerana cukuplah sudah BN diberi tempat di Sabah,” katanya.

Selain di PDM Batu Enam, WARISAN turut menerima seramai 387 keahlian baharu daripada bekas ahli UMNO di PDM Brunei, Membakut, dengan sebanyak tujuh cawangan baharu WARISAN ditubuhkan di kampung itu semalam.

Berita Harian X