Selasa, 7 Januari 2020 | 12:58pm
DERETAN bendera parti menghiasi Pekan Lama Membakut. - Foto BERNAMA

PRK Kimanis: Kempen hari keempat mula meriah

KIMANIS: Bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis semakin dirasai apabila kempen memasuki hari keempat hari ini selepas proses penamaan calon selesai pada 4 Januari lalu.

Tinjauan mendapati suasana kempen yang tidak begitu rancak pada hari pertama kini mulai meriah dengan deretan bendera putih dan biru, mewakili warna bendera parti-parti bertanding di sekitar kawasan Membakut dan Bongawan di sini.

Jentera kempen kedua-dua parti politik yang bertanding mula memperhebatkan kerja-kerja menggantung dan memasang poster serta kain rentang yang memaparkan gambar calon serta logo parti masing-masing sejak semalam.

Seorang petugas jentera Parti Warisan Sabah (WARISAN), Azman Jamily, 30, berkata mereka mula memasang bendera sejak hari penamaan calon pada Sabtu lalu, terutama di kawasan strategik seperti di jambatan dan kawasan tumpuan ramai.

“Kita mula awal (pasang bendera) kerana mahu dapatkan tempat paling strategik dan tempat yang sering dilalui orang ramai. Kita juga mahu dapatkan tempat sebelum parti lawan datang ke lokasi itu,” katanya.

PRK Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon WARISAN dan Barisan Nasional (BN).

Warisan mempertaruhkan Ketua Bahagian Kimanis, Datuk Karim Bujang, 67, manakala BN meletakkan Ketua UMNO bahagian berkenaan, Datuk Mohamad Alamin, 48.

SPR menetapkan hari pengundian pada 18 Januari, manakala pengundian awal pada 14 Januari.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir berada di luar negara.

Kehangatan suasana kempen dirasai dengan calon-calon yang bertanding mengadakan pelbagai program turun padang dan ceramah bagi memenangi hati pengundi.

Platform ceramah digunakan sebaik-baiknya oleh parti bertanding bagi menerangkan perancangan dan agenda yang bakal dibawa di samping menangkis serangan pihak lawan.

Tinjauan di sekitar kawasan Beaufort pula mendapati PRK itu ternyata membuka pintu rezeki kepada peniaga di kawasan itu.

Peniaga makanan, Amanina Azman, 19, berkata permintaan untuk kepak ayam madu bakar dan pisang goreng yang dijualnya meningkat dua kali ganda sejak dua hari lalu.

“Ada pembeli yang datang dari luar, mungkin terbabit dengan PRK Kimanis. Waktu perniagaan saya ubah, saya membuka kedai lebih awal dan tutup lewat sedikit daripada biasa,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan hari ini memaklumkan belum ada kesalahan pilihan raya yang direkodkan oleh Pegawai Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) setakat hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak, berkata pihaknya menerima dua laporan berkaitan PRK Kimanis dengan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 33 permit kempen politik dikeluarkan polis bagi PRK berkenaan. - BERNAMA

Berita Harian X