Selasa, 7 Januari 2020 | 5:25pm
AZIS Jamman
AZIS Jamman

BN sanggah keputusan sendiri - Azis Jamman

KIMANIS: Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai ‘munafik’ kerana membantah pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan ketika memerintah sebelum ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) hanya meneruskan cadangan berkenaan selepas menyatakan pendirian mengenainya.

Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan WARISAN masing-masing mengambil alih pentadbiran kerajaan Pusat dan negeri pada 2018, mereka diminta menyatakan pendirian berhubung perkara yang diputuskan kerajaan terdahulu berkaitan pengurusan warga asing di Sabah.

Katanya, minit mesyuarat jawatankuasa teknikal pengurusan warga asing Sabah pada 2016 yang diwujudkan susulan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan warga asing Sabah sebelum ini ada menyatakan mengenai pengeluaran kad untuk warga asing.

“Kerajaan terdahulu (BN) menamakannya Pas Residen Sabah, lain bunyinya, macam mahu tinggal terus sini pula, sebelum ditukar kepada Pas Residen Sementara Sabah.

“Selepas kerajaan bertukar, kita bersetuju meneruskan cadangan pengeluaran kad berkenaan dan ubah namanya kepada Pas Sementara Sabah (PSS).

“Ini menunjukkan cadangan pelaksanaan PSS dibuat oleh UMNO dan BN, buktinya ada di tangan saya.

“Sebab itu saya kata UMNO munafik kerana membantah perkara yang mereka cadang sendiri,” katanya ketika berkempen untuk calon WARISAN, Datuk Karim Bujang, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpangan, Kampung Ulu Kimanis, di sini, hari ini.

BN menjadikan isu PSS sebagai bahan kempen utama dalam usaha meraih sokongan pengundi menjelang hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, 18 Januari ini.

PSS yang dijadual mula dilaksanakan Jun ini adalah kad dilengkapi ciri-ciri keselamatan bagi menggantikan dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Pengeluaran dokumen baharu itu antara lain bertujuan mengesan pendatang asing yang memiliki dokumen palsu, selain satu cara untuk memantau pergerakan mereka.

Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, memberi jaminan PSS bukan mekanisme untuk memberikan kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah dan perkara itu sudah dijelaskan di Parlimen.

“Pembangkang tahu kita tidak boleh berbohong dalam di Dewan Rakyat. Saya sudah jelaskan dengan panjang lebar berkaitan perkara ini di sana.

“Kalau betul kita ada hasrat beri kad pengenalan, lebih baik kita tidak laksanakan PSS. Kita senyap-senyap berikan pemegang dokumen palsu dengan dokumen yang asli,” katanya.

Namun, katanya komitmen kerajaan semasa untuk mengatasi isu berkaitan warga asing di Sabah menyebabkan kerajaan mengambil keputusan meneruskan cadangan dibuat kerajaan terdahulu.

Berita Harian X