Selasa, 7 Januari 2020 | 7:08pm
LIEW Vui Keong

'Bung Moktar tak perlu pura-pura'

SANDAKAN: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dinasihatkan berhenti ‘berpura-pura’ peka terhadap nasib rakyat Sabah dan tidak membazir usaha kerajaan dalam menyampaikan perubahan sebenar kepada rakyat Sabah serta Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu memperkatakan mengenai kepentingan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Hakikatnya, usaha ke arah memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama dalam Persekutuan dimulakan Parti Warisan Sabah (WARISAN) sejak April tahun lalu.

Vui Keong berkata, Bung Moktar adalah antara Ahli Parlimen UMNO/Barisan Nasional (BN) yang tidak bersetuju pindaan Perlembagaan dibuat berhubung perkara itu.

BUNG Moktar Radin

“Beliau (Bung Moktar) menghalang Sabah dan Sarawak daripada menikmati perkongsian yang sama di peringkat Persekutuan.

“Tidak pernah sekali pun dia peduli mengenai nilai ini kepada rakyat Sabah dalam menikmati hak sama rata, tetapi sekarang dia bimbang kerana ada pilihan raya kecil,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Vui Keong yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi berkata, kebimbangan sebenar Bung Moktar dan pemimpin UMNO lain seperti Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap Sabah dan Sarawak ialah tiadanya usaha memulih dan menegakkan status kedua-dua negeri itu sebagai rakan kongsi ketika masih berkuasa.

Beliau turut mengulangi usaha WARISAN dengan kerjasama kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 21 bulan cuba melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pencapaian yang tidak mungkin dilakukan BN ketika berkuasa.

“Masa mereka mungkin lebih baik digunakan untuk mencermin diri dan lihat kegagalan masa lalu ketika mentadbir.

“Jangan berfikir begitu rendah bahawa penduduk di Sabah dan Sarawak tidak mampu melihat tipu daya kerajaan lalu,” katanya.

Berita Harian X