Selasa, 7 Januari 2020 | 7:15pm
KETUA Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis Datuk Karim Bujang ketika kempen PRK Parlimen Kimanis di Kuala Pos Bongawan Estate. - Foto BERNAMA
KETUA Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis Datuk Karim Bujang ketika kempen PRK Parlimen Kimanis di Kuala Pos Bongawan Estate. - Foto BERNAMA

'Jangan politikkan isu PSS'

KIMANIS: Calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang, menyifatkan pembangkang sengaja mempolitikkan isu Pas Sementara Sabah (PSS) untuk meraih sokongan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Jelasnya, tindakan itu tidak menyelesaikan isu, malah boleh memburukkan usaha mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sudah lama berlarutan di Sabah.

Beliau menjelaskan, isu PSS lebih kepada aspek pentadbiran yang perlu ditangani pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bukan dengan campur tangan politik.

“PSS bukan isu politik, ia lebih kepada isu pentadbiran, jadi sepatutnya biarkan proses pentadbiran dibuat oleh kerajaan melalui Jabatan Imigresen, JPN dan agensi yang berkaitan kerana mereka lebih tahu dan faham mengenai PSS.

“Setelah mendengar taklimat Kementerian Dalam Negeri dan pegawai JPN, saya yakin isu ini boleh diselesai dengan baik kalau semua pihak bersatu untuk menyelesaikan masalah.

“Menjadikan ia sebagai isu tidak dapat menyelesaikan masalah asal mengenai PATI, maka saya minta semua pihak bertindak dengan betul supaya ia dapat diselesai dengan baik,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau yakin isu PSS tidak menjejaskan peluangnya memenangi PRK berkenaan. lebih-lebih lagi dengan kerjasama semua jentera WARISAN, Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) membantu kempen.

“Saya lihat maklum balas pengundi meningkat selepas hari ketiga kempen semalam. Markas parti sudah digerakkan sepenuhnya dan semangat jentera WARISAN juga meningkat.

“Saya gembira melihat perkembangan ini. Selain itu gerak kerja dan sokongan moral PH serta UPKO juga nampaknya menunjukkan hasil dan tidak keterlaluan saya cakap saya positif,” katanya.

Berita Harian X