Khamis, 9 Januari 2020 | 12:15pm
Gambar fail, Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Junz Wong. - Foto Malai Rosmah Tuah
Gambar fail, Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Junz Wong. - Foto Malai Rosmah Tuah

BN terdesak bangkit isu PSS - Junz Wong

KIMANIS: Tindakan Barisan Nasional (BN) berterusan membangkitkan isu pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) memperlihatkan betapa parti pembangkang itu terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Junz Wong menjelaskan pelaksanaan PSS itu sebenarnya adalah atas inisiatif BN sebelum ini yang mahu memperkenalkan Pas Residen Sabah (PRS).

Beliau berkata ketika BN memerintah negeri ini, mereka meluluskan pelaksanaan PRS, namun inisiatif itu tidak diperkenalkan.

Justeru, katanya kerajaan pada masa ini meneruskan inisiatif itu dengan menukar nama kepada PSS bertujuan memburu pemegang dokumen palsu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dikeluarkan oleh sindiket.

“Tetapi hari ini BN menafikan PRS diluluskan oleh mereka sejak Julai 2015. Kita berbicara secara fakta. Saya cabar BN menafikan fakta-fakta kronologi yang dilampirkan (berhubung isu PSS),” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Junz berkata inisiatif BN mahu memperkenalkan PRS adalah menerusi penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah yang dibentuk sejak 3 Disember 2014, selepas menerima kelulusan Mesyuarat Jemaah Kabinet yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak.

“Jawatankuasa Induk dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

“Kemudian, Timbalan Ketua Menteri Sabah pada ketika itu, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengambil alih. PRS kemudian diluluskan pada Julai 2015. BN tubuhkan sebuah jawatankuasa. BN meluluskan PRS yang dicadang jawatankuasa itu. Akhirnya BN jugalah yang membuat bantahan pelaksanaan PSS. Tidakkah ‘flip-flop’ ini menyerlah keterdesakan BN?”

Junz menjelaskan pada hakikatnya PSS yang dipersoalkan BN pada masa ini adalah cadangan daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

PSS bukanlah cadangan daripada WARISAN. PSS adalah pengesyoran dan cadangan RCI mengenai Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah yang ditubuhkan sejak 2012, katanya.

Menurutnya, WARISAN menjadi kerajaan Sabah pertama melaksanakan usaha konkrit yang dicadang oleh RCI itu di negeri ini.

“Bagaimana BN nak selesaikan masalah PTI sedangkan BN lah yang menjadi punca masalah PTI? Maka biarlah Warisan buat kerja menyelesaikan masalah PTI ini,” kata Junz. – BERNAMA

Berita Harian X