Selasa, 14 Januari 2020 | 2:37pm
Petugas SPR (kiri) diiringi oleh anggota polis membawa beg berisi peti undi untuk disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort selepas Pusat Pengundian Awal PRK Parlimen Kimanis di Bilik Gerakan Balai Polis Membakut ditutup pada 12 tengah hari hari ini. - Foto BERNAMA

Hanya seorang pengundi awal PRK Kimanis tidak datang

MEMBAKUT: Hanya seorang daripada sembilan pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, tidak datang mengundi di pusat pengundian awal di Balai Polis Membakut di sini, sehingga ia ditutup jam 12 tengah hari tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataannya, berkata susulan ketidak hadiran itu, melaporkan peratusan pengundi awal yang keluar mengundi hari ini adalah 88.9 peratus.

Peratusan itu sudah dicapai pada jam 9.30 pagi berdasarkan kehadiran lapan pengundi awal, namun petugas SPR tetap menunggu sehingga tempoh pengundian awal tamat pada jam 12 tengah hari.

Pagi tadi, Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar, berkata pusat pengundian itu yang dibuka sejak jam 8 pagi tetap dibuka sehingga tempoh ditetapkan tamat.

“Kita berharap semua pengundi awal datang bagi mencapai kehadiran 100 peratus,” katanya ditemui selepas meninjau proses pengundian awal di pusat berkenaan.

Yang turut hadir ialah Ketua Polis Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak.

Sementara itu, sebanyak 11 laporan polis diterima berkaitan pelbagai kesalahan pilihan raya sepanjang 11 hari kempen sejak penamaan calon pada 4 Januari lalu.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu hanya tujuh dibuka kertas siasatan kerana ada laporan polis yang berkaitan kes sama.

Mohemad Elias berkata, antara laporan yang diterima ialah berkaitan sambutan Krismas dan Tahun Baharu yang diadakan di sini, sebelum ini.

“Satu lagi kes ialah laporan yang menidakkan laporan berkaitan sambutan Krismas dan Tahun Baharu itu. Selebihnya pula ialah berkaitan laporan kes menurunkan gegantung kempen parti yang bertanding.

“Pemantauan SPR setakat ini mengesan tiga kes berkaitan kesalahan gegantung yang dipasang,” katanya.

Sementara itu Azmir berkata, enam kertas siasatan dibuka membabitkan beberapa seksyen dalam Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 seperti Seksyen 10(Sogokan) dan Seksyen 4A(1)(Mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan) yang boleh disabitkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, katanya kertas siasatan berkaitan fitnah turut dibuka mengikut Sesyen 500, Kanun Keseksaan dan Seksyen 233, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau turut menasihatkan parti yang bertanding supaya memastikan kempen masing-masing tidak menyakiti pihak lawan.

“Kita minta supaya kedua-dua pihak yang bertanding supaya kekalkan keadaan harmoni ketika berkempen. Jangan ada pamer poster yang boleh cetus perasaan bermusuh.

“Bagaimanapun, secara keseluruhan perjalanan PRK ini lancar, jadi kita minta penyokong parti bertanding supaya tidak membuat provokasi terhadap pihak lawan masing-masing,” katanya.

Setakat hari ini, katanya sebanyak 181 permit untuk aktiviti kempen dikeluarkan, masing-masing 112 permit kepada Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan 69 bagi Barisan Nasional (BN).

Berita Harian X