Selasa, 14 Januari 2020 | 3:49pm
Azizah (kanan) bersama rombongan ketika melawat dari rumah ke rumah di PDM Lumat di Kimanis. - Ihsan Srikandi BERSATU Sabah
Azizah (tengah) bersama rombongan melawat dari rumah ke rumah di PDM Lumat di Kimanis. - Ihsan Srikandi BERSATU Sabah

Wakil rakyat kerajaan lebih mudah bantu rakyat

KIMANIS: Pengundi Kimanis perlu menyokong calon daripada parti kerajaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, 18 Januari ini supaya segala masalah dapat diatasi dengan baik.

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata antara masalah itu ialah banjir, kesihatan, sekolah dan kemudahan asas.

“Bagaimanapun, jika kawasan Kimanis diwakili parti pembangkang, undi mereka hanya sia-sia,” katanya selepas program lawatan rumah ke rumah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lumat, di sini, hari ini.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah itu juga menegaskan bahawa wakil rakyat kerajaan berada dalam kedudukan yang lebih baik menolong rakyat berbanding pembangkang.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang dengan Datuk Mohamad Alamin, daripada Barisan Nasional (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 18 Januari dan pengundian awal hari ini.

Mengenai lawatan itu beliau berkata, Azizah berkata ketika lawatan itu, pelbagai masalah penduduk kampung diluahkan termasuk banjir.

“Saya akan membawa perkara itu ke pihak berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah majoriti penduduk di kampung Lumat mahu kerajaan membantu mereka menangani pelbagai masalah yang dihadapi termasuk mewartakan lot rumah kampung, paip graviti, membina jambatan konkrit untuk kenderaan menyeberang sungai, membaiki parit dan menangani masalah banjir.

Berita Harian X