Selasa, 14 Januari 2020 | 10:34pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang. - Foto BERNAMA

Beri mandat kepada calon WARISAN teruskan pembangunan - Anwar

KIMANIS: Penduduk Kimanis perlu memberi mandat kepada calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis Sabtu ini, bagi memastikan program pembangunan dirancang dapat terus dilaksana di kawasan berkenaan.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penduduk Kimanis termasuk pekebun kecil perlu memilih wakil rakyat daripada parti pemerintah yang ​​​​​​​boleh menyuarakan kehendak dan aspirasi mereka, sekali gus komited menyediakan kemudahan infrastruktur jalan raya lebih baik serta dapat membantu mengatasi masalah ketidakstabilan harga komoditi.

“Lebih baik (rakyat Kimanis) memberi mandat kepada calon WARISAN, beri sokongan kepada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan ...dengan cara ini, kita boleh terus bekerja (membawa pembangunan) untuk rakyat di sini.

“Ini (PRK Kimanis) adalah masa untuk kita membuat keputusan yang boleh membawa kebaikan kepada nasib dan masa depan kita,” katanya berucap pada majlis ramah mesra bersama pekebun kecil getah di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew merangkap pengerusi PKR Sabah dan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Dr Daud Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan.

Anwar yakin kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Kerajaan Persekutuan diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan terus melakukan perubahan demi kemaslahatan rakyat negeri ini.

Terdahulu, beberapa pekebun kecil getah yang menghadiri program ramah mesra itu menyatakan harapan mereka supaya kerajaan dapat mengambil perhatian untuk menaik taraf jalan raya bagi kemudahan mereka menghantar hasil getah, selain memastikan harga bahan komoditi itu stabil memandangkan ia menjadi sumber pendapatan utama mereka.

PRK Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Karim dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin.

– BERNAMA

TAG: Anwar Ibrahim, PKR, PRK Kimanis, Parti Warisan Sabah, sokong

Berita Harian X